Kanak-Kanak Perempuan Terpaksa Menerima Belasan Jahitan



Kanak-kanak perempuan terpaksa menerima belasan jahitan di dahi yang terkoyak selepas dipercayai didera ibu kandung dan teman lelakinya.

Selain itu, mangsa berusia empat tahun terbabit turut mengalami lebam di seluruh badan dan kaki juga dipercayai akibat didera ketika tinggal bersama ibunya di Taman Maluri, Kuala Lumpur.

Mangsa yang tinggal bersama neneknya selepas perceraian ibu bapanya setahun lalu dikatakan diambil oleh ibu kandungnya minggu lalu.

Bagaimanapun, ketika dihantar pulang keadaan kanak-kanak itu cukup menyayat hati sehingga terpaksa dibawa mendapatkan rawatan susulan.

Difahamkan, ibu kandung dan teman lelakinya yang menghilangkan diri sudah menyerah diri kepada polis kira-kira 3 pagi tadi di Ulu Yam Baru, dekat Kuala Kubu Bharu.

Ibu saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Hana berkata, kejadian disedari bapa mangsa yang kemudian membawanya menjalani pemeriksaan di hospital sebelum membuat laporan polis.

Katanya, mangsa terpaksa ditahan di Hospital Ampang selama enam hari untuk merawat kecederaan yang dialaminya.

Insiden yang menimpa kanak-kanak itu turut tular di laman sosial dan mendapat pelbagai komen daripada orang ramai.

Kenyataan viral itu mendakwa pihak polis tidak mahu mengambil tindakan terhadap laporan berkenaan dan memohon orang ramai supaya membantu menahan kedua-dua suspek terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, kanak-kanak terbabit kini berada dalam jagaan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.

Katanya, kedua-dua suspek yang juga ibu kandung mangsa dan teman lelakinya sudah ditahan.

“Suspek kini ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Sehubungan itu, Amar Singh menyatakan rasa kesal dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan kononnya polis tidak mahu mengambil tindakan terhadap laporan kes berkenaan.

Katanya, walaupun laporan polis sudah ditarik balik oleh bapa mangsa sendiri selepas pelaku yang juga bekas isteri pengadu memohon maaf atas kejadian itu, namun polis tetap menjalankan siasatan.

“Polis ingin menegaskan isu yang ditularkan itu tidak berasas serta berunsur mahu mengaibkan imej dan kredibiliti polis.

“Kami menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai khabar angin atau berita yang belum ada kesahihannya,” katanya. - Apakes

Kanak-Kanak Perempuan Terpaksa Menerima Belasan Jahitan Kanak-Kanak Perempuan Terpaksa Menerima Belasan Jahitan Reviewed by Lina Slayer on 20:35:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.