1 Maut, 4 Cedera Kereta Bertembung




KUALA KUBU BHARU - Seorang maut dan empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 12 Jalan Batang Kali - Genting Highlands, awal pagi tadi.

Kemalangan kira-kira jam 3.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila sebuah PROTON Wira yang datang dari arah Batang Kali menuju Genting Highlands dikatakan hilang kawalan ketika melalui lokasi kejadian, masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan TOYOTA Almera yang datang dari arah hadapan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai, berkata akibat pertembungan itu, pemandu PROTON Wira yang dikenali sebagai Mohd Saiful Mohd Hashim, 35, maut di lokasi kejadian kerana hentakan di dada.

Penumpang kereta itu, seorang wanita, Aza Alfa Aludin, 37, dari Pulau Pinang, patah kaki.

"Turut cedera parah adalah pemandu Toyota Almera dikenali sebagai Ng Guan Soon, 27, bersama dua penumpang wanita, Prakai Sae-See, 49 dan Prakai Soe-see, 55.

"Semua mangsa yang parah dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Rosdi Shafie, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 3.08 pagi.

"Pasukan tiba di lokasi kejadian pada jam 3.40 pagi dan mendapati semua mangsa sudah dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam.

"Anggota memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum dihantar ke hospital. Bomba kemudian membersihkan tumpahan minyak akibat kemalangan itu," katanya. - Apakes
1 Maut, 4 Cedera Kereta Bertembung 1 Maut, 4 Cedera Kereta Bertembung Reviewed by Lina Slayer on 16:03:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.