Anne Farina Kembali Bergelar Isteri




Selepas 15 tahun menjadi ibu tunggal kepada seorang anak perempuan, bekas peserta Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Anne Farina, kembali mendirikan rumah tangga, semalam.

Anne atau nama penuhnya Zafarina Jambari, 35, memilih jurutera audio, Ahmad Faris Md Fauzi, 36, sebagai suami.

Majlis pernikahan mereka diadakan kira-kira jam 11 pagi di Rumah Kelab, Pusat Alumni Universiti Malaya (PAUM), di sini. Majlis bersanding pula diadakan sejurus kemudian, di lokasi sama.

Penyanyi terbabit berkata, hatinya terbuka untuk berkahwin semula selepas melihat kesungguhan ditunjukkan suaminya itu.




"Selepas tiga bulan berkenalan, dia mengajak saya berkahwin. Bagaimanapun, ketika itu saya tidak mahu membuat keputusan terburu-buru.

"Selepas enam bulan pula, dia sanggup datang beraya ke rumah keluarga saya di Sarawak. Ketika itu, saya nampak kesungguhan dan keikhlasannya untuk memperisterikan saya.
.
"Jadi, kami bertunang dulu sekitar Mei lalu, malah anak tunggal saya pun gembira dengan apa yang saya lalui ketika ini," katanya.

Ditanya mengenai destinasi bulan madu, Anne berkata, beliau dan suami belum memutuskan mengenai perkara itu.

"Buat waktu ini, kami belum merancang soal bulan madu kerana masing-masing masih terikat dengan kerja. Jadi, paling awal pun mungkin kami akan bercuti pada hujung tahun," katanya.

Menyentuh soal kerjaya seninya pula, Anne berkata, beliau memilih untuk memberikan tumpuan pada rumah tangga dulu buat waktu ini.

"Saya sudah lama bersendirian. Jadi, sebaik-baiknya saya nikmati keindahan dan kemanisan berumahtangga dulu saat ini.

"Bagaimanapun, kalau ada kerja seni yang sesuai, saya pasti pertimbangkan. Sebelum ini, saya masih menerima undangan menyanyi untuk acara tertutup," katanya. - Apakes
Anne Farina Kembali Bergelar Isteri Anne Farina Kembali Bergelar Isteri Reviewed by Lina Slayer on 21:12:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.