Cabul Penumpang, Pemandu Grabcar Didenda RM1,500




KUALA LUMPUR - Seorang pemandu Grabcar didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mencabul kehormatan seorang penumpang wanita, Mei lalu.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Asrul Rosli, 26, selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan kepadanya.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang wanita berusia 21 tahun yang tidak bekerja dengan maksud hendak mencabul kehormatannya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah kereta di kawasan Dang Wangi di sini antara jam 2 hingga 3 petang pada 17 Mei lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripadanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dikenakan hukuman ringan atas alasan dia menanggung ibunya yang sakit.

Bagaimanapun Pegawai Pendakwa, Inspektor Nom Phot Prackdit memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada tertuduh.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa duduk di tempat penumpang hadapan dan ketika di dalam kereta tertuduh mengajak mangsa menemaninya meronda sekitar ibu kota.

Mangsa menolak pelawaan itu dan tertuduh memberhentikan keretanya lalu memegang bahu dan menggosok paha mangsa serta mengangkat kainnya.

Mangsa kemudian keluar dari kereta dan membuat laporan polis kejadian itu. - Apakes
Cabul Penumpang, Pemandu Grabcar Didenda RM1,500 Cabul Penumpang, Pemandu Grabcar Didenda RM1,500 Reviewed by Lina Slayer on 19:43:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.