Datuk Seri Vida Mengaku Bersalah




Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Hasmiza Othman atau dikenali sebagai Datuk Seri Vida, didenda RM4,800 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya , hari ini, selepas mengaku bersalah menyiarkan iklan tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat.

Majistret Mohd Azali Ibrahim turut memerintahkan Hasmiza, 46,menjalani tambahan hukuman penjara lima bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Dia selaku orang kena saman (OKS), yang terkenal dengan lagu 'I Am Me', membayar denda berkenaan.

Dalam prosiding itu, ketika jurubahasa membacakan pertuduhan dihadapinya, Hasmiza menjawab ringkas, 'bagi memudahkan semua pihak, saya mengaku salah'.

Mengikut pertuduhan, Hasmiza didakwa menyiarkan iklan dalam rancangan Jom Singgah di syarikat penyiaran televisyen, berhubung produk Pamoga untuk mempengaruhi pengguna sebagai ubat atau penyembuh bagi merawat kulit melecur, meredakan sakit sendi dan melegakan sakit lutut seperti yang dinyatakan dalam jadual Akta Ubat (Iklan dan Penjualan 1956) tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Sri Pentas, Persiaran Bandar Utama, di sini, antara 1 hingga 1.30 tengah hari, 18 Julai 2016.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4B Akta Ubat (Iklan dan Penjualan 1956), yang boleh dihukum mengikut Seksyen 5(1)(b) akta, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Hasmiza yang tidak diwakili peguam, dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan hanya mengulangi testimoni daripada pelanggan mengenai keberkesanan produk berkenaan.

"Saya tidak dapat mengawal percakapan kerana program itu disiarkan secara langsung dan sekarang saya memilih untuk berdiam diri dan tidak membuat siaran langsung lagi," katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Bahagian Penguatkuasaan Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), membantah rayuan itu dan memohon dikenakan hukuman berat kerana mempunyai kesalahan lampau serta OKS dikenali ramai. - Apakes
Datuk Seri Vida Mengaku Bersalah Datuk Seri Vida Mengaku Bersalah Reviewed by Lina Slayer on 18:49:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.