Gara-Gara Berebut Anak, 4 Parah Dalam Nahas 3 Kereta




ALOR SETAR - Tindakan seorang pemandu lelaki menghimpit kereta dipandu bekas isterinya, dipercayai kerana berebut anak, menyebabkan tiga kenderaan kemalangan yang mengakibatkan empat parah.

Nahas berkenaan di Jalan Anak Bukit menghala Kepala Batas, kira-kira jam 2 petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Yazri Ismail, berkata semua mangsa berusia antara lima hingga 38 tahun dirawat di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah, di sini.

Hasil siasatan awal, katanya, mendapati kemalangan berpunca daripada tindakan seorang lelaki berusia 38 tahun memandu PERODUA Myvi warna emas menghimpit kereta dipandu bekas isterinya yang membawa anak lelaki mereka berusia lima tahun.

"Lelaki itu dipercayai menghimpit kereta bekas isterinya, juga PERODU Myvi warna hitam ke pembahagi jalan. Kereta itu kemudian gagal dikawal sebelum melanggar sebatang pokok besar di atas pembahagi jalan terbabit.

"Lelaki itu juga dipercayai gagal mengawal keretanya sebelum melanggar kereta PROTON Persona milik Kolej Tentera Udara yang dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun hingga terbalik dan merintangi jalan.

"Kereta lelaki yang melanggar terbabas ke bahu kiri jalan sebelum merempuh pagar kuarters Jabatan Meteorologi Malaysia. Kesan tayar akibat kemalangan terbabit kira-kira 500 meter," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Yazri berkata, hasil siasatan awal diperoleh menerusi keterangan orang awam di lokasi kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga mendatangkan bahaya," katanya. - Apakes
Gara-Gara Berebut Anak, 4 Parah Dalam Nahas 3 Kereta Gara-Gara Berebut Anak, 4 Parah Dalam Nahas 3 Kereta Reviewed by Lina Slayer on 13:26:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.