Kekasih, 2 Anak Tak Mengaku Dera Remaja




JOHOR BAHRU - Seorang lelaki bersama kekasihnya dan dua anak lelaki wanita berkenaan mengaku tidak bersalah atas dakwaan mendatangkan kecederaan terhadap anak lelaki kandungnya berusia 14 tahun di Mahkamah Majistret dan Sesyen di sini, semalam.

Tertuduh, G Viswanathan, 36; K Lechumy, 40, bersama dua anaknya, R Aravindaar, 19, dan seorang lagi berusia 14 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibuat di dua mahkamah berasingan.

Viswanathan, pekerja swasta di Singapura didakwa melakukan kesalahan itu pada Februari hingga 14 Ogos tahun ini di Taman Perling, dekat sini.

Dia didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan atas kanak-kanak berusia 14 tahun menganiayai kanak-kanak berkenaan sehingga mengalami kecederaan fizikal mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31 (a) akta sama.

Jika disabit kesalahan, Viswanathan boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim, Kamarudin Kamsun menetapkan 13 September sebagai sebutan semula kes.

Dalam mahkamah berasingan, Lechumy yang hamil enam bulan dan tidak bekerja didakwa mendatangkan kecederaan atas kanak-kanak berkenaan dengan menggunakan wayar pada Julai 2017 hingga 14 Ogos 2017 di alamat sama.

Lechumy didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau didenda atau sebatan.

Majistret Siti Hajar Ali menetapkan 3 September sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, dua anak wanita berkenaan didakwa mulai Julai hingga 14 Ogos di alamat sama dengan sengaja mendatangkan kecederaan atas kanak-kanak berkenaan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Majistret Salina Omar menetapkan 8 Oktober sebagai tarikh sebutan.

Viswanathan tidak dibenarkan ikat jamin, manakala tertuduh lain masing-masing dibenarkan diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Natalie Chew, Muhammad Mohd Nasir dan Suhaila Shafi'uddin, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. - Apakes
Kekasih, 2 Anak Tak Mengaku Dera Remaja Kekasih, 2 Anak Tak Mengaku Dera Remaja Reviewed by Lina Slayer on 12:45:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.