Kemalangan Maut, Kereta Terjunam Gaung




GERIK - Dua pemuda yang juga rakan sekampung, ditemui mati hari ini, selepas kereta dinaiki mereka terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 100 meter di Kilometer (KM) 27, Fasa 2, Jalan Raya Timur Barat, Gerik-Kupang di sini.

Mayat Arif Akmal Kamaruzzaman, 20, dan rakannya, An Pon Ai Pon, 26, ditemui pada jarak 50 meter dan 25 meter dari kenderaan dinaiki di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Ismail Che Isa, berkata nahas menimpa mangsa dipercaya berlaku kira-kira jam 11 malam Jumaat lalu, berdasarkan laporan polis yang dibuat keluarga mangsa di Sik, Kedah mengenai kehilangan dua pemuda terbabit.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa itu dijumpai orang awam dan waris mereka yang dalam proses mencari di sekitar jalan raya di Gerik dan Kelantan.

Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati kereta Proton Wira yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah Gerik ke Kupang.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta yang disyaki dipandu laju itu, dipercayai terbabas ke kawasan berumput di kiri jalan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 100 meter.

"Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kereta terbabit. Arif Akmal tercampak kira-kira 50 meter, manakala rakannya tercampak 25 meter dari kereta," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan penemuan itu, sepasukan anggota bomba dan penyelamat dipanggil bagi membantu mengeluarkan mayat mangsa dari gaung berkenaan mulai 3.30 hingga 5.20 petang tadi.

Katanya, kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian dengan keadaan mayat mulai membengkak.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat dan siasatan kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - Apakes
Kemalangan Maut, Kereta Terjunam Gaung Kemalangan Maut, Kereta Terjunam Gaung Reviewed by Lina Slayer on 12:32:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.