Maut Dilanggar Kereta Curi




KAJANG - Polis Daerah Kajang sedang mengesan suspek yang melarikan kereta jenis Toyota Estima sebelum kenderaan itu terbabit kemalangan sehingga menyebabkan seorang wanita maut, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yusof, berkata terdahulu polis menerima laporan daripada seorang remaja berusia 17 tahun pada jam 4.58 pagi memaklumkan rumahnya di Taman Cheras Perdana dipecah masuk dua lelaki dan melarikan kereta Toyota Estima berwarna putih milik bapanya.

Katanya, kira-kira dua jam kemudian polis mendapat maklumat satu kemalangan maut berlaku di Kilometer (KM) 9.9 Lebuhraya SILK membabitkan kenderaan yang dilarikan suspek dengan sebuah PROTON Saga FL dipandu seorang wanita berusia 39 tahun.

"Siasatan awal Bahagian Siasatan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang mendapati, kejadian berpunca daripada kecuaian suspek yang dipercayai memandu laju dan gagal mengawal kenderaan lalu melanggar bahagian belakang PROTON Saga FL dipandu mangsa.

"Ketika kejadian, kenderaan mangsa berada di laluan paling kiri lebuh raya.

"Akibat perlanggaran itu, kereta dipandu suspek hilang kawalan dan terbabas di sebelah kiri bahu jalan sebelum melanggar longkang. Pemandu PROTON Saga FL itu disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kajang, manakala suspek melarikan diri sejurus kemudian," katanya.

Dzaffir berkata, mayat mangsa yang maut dihantar ke Hospital Serdang dan hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat kecederaan parah di kepala.

Katanya, usaha mengesan suspek masih giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan. - Apakes
Maut Dilanggar Kereta Curi Maut Dilanggar Kereta Curi Reviewed by Lina Slayer on 21:24:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.