4 Jenazah Pelajar Dikebumi Tanah Perkuburan Jalan Ampang




KUALA LUMPUR - Jenazah empat pelajar tahfiz yang terkorban dalam insiden kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat pagi semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang di sini.

Jenazah dua beradik iaitu Azkar Abiedi F. Zaskar, 11, dan Azkar Dariemi, 8, serta sepupunya Muhammad Afiq Haqimie Hairulizwan, 11, dikebumikan dalam satu liang lahad pada kira-kira 6.30 petang.

Jenazah seorang lagi pelajar Nik Muhammad Ridzuan Nik Azalan, 12, dikebumikan secara berasingan di tanah perkuburan itu pada 8 malam.

Jenazah Azkar Abiedi, Azkar Dariemi dan Muhammad Afiq Haqimie ditalkinkan oleh Imam Surau Rajaiyah Kampung Baru, Giman Awang manakala talkin untuk jenazah Nik Muhammad Ridzuan Imam dibacakan Imam Masjid Kampung Baru Mohd Khairul Ridwan Mohd Fadzil.

Suasana pilu menyelubungi kira-kira 300 orang terdiri daripada keluarga, sanak saudara, kenalan yang menghadiri pengebumian empat daripada 23 nyawa yang terkorban dalam kebakaran pagi semalam.

Ketika ditemui selepas pengebumian, F. Zaskar Yusoh, 38, ayah kepada Azkar Abiedi dan Azkar Dariemi, berkata beliau sempat keluar bersama kedua-dua anaknya enam hari lalu sebelum mereka ditemui maut semalam.

Anggota polis berpangkat koperal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras itu tidak menyangka kata-kata akhir anak keduanya Azkar Abiedi agar jangan sesekali meninggalkan solat pada Sabtu lalu adalah kata-kata terakhir arwah.

Katanya, anak kedua dan ketiga daripada tiga adik-beradik itu sememangnya anak yang manja dan rapat dengannya.

"Mereka seronok belajar di situ (di pusat tahfiz), banyak perubahan dalam tingkah laku mereka sejak mereka masuk tiga bulan lalu.

"Saya tidak menyangka akan kehilangan kedua-dua anak saya sekelip mata," katanya. - Apakes


4 Jenazah Pelajar Dikebumi Tanah Perkuburan Jalan Ampang 4 Jenazah Pelajar Dikebumi Tanah Perkuburan Jalan Ampang Reviewed by Lina Slayer on 03:06:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.