Aizat Amdan Ke Wad Pesakit Mental




Agak lama tak mendengar perkembangan Aizat Amdan,  namun penyanyi lagu Pergi ini  baru sahaja menjengah ke wad pesakit mental.

Aizat, 28, berkata, dia berkunjung di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM)  pada  Selasa lalu bagi menyempurnakan slot video log (Vlog) di YouTube miliknya.

"Selepas dua tahun, saya ambil keputusan untuk kembali aktif dengan Vlog yang menceritakan tentang kehidupan peribadi,  kerjaya seni dan aktiviti saya untuk dikongsi bersama peminat dan lawatan ke wad psikatrik adalah sebahagian daripada pengisian slot tersebut," katanya.

Aizat ditemui pada majlis pelancaran Vlog dan muzik video Jangan Menangis  di Pejabat Urusan Warner Music Malaysia, Damansara, pada Khamis.

Dalam pada itu kata Aizat,  idea untuk menjengah ke lokasi tersebut datang setelah memikirkan semakin ramai orang hari ini termasuk rakan-rakan terdekatnya mengalami tekanan perasaan.

"Saya melihat masalah ini tidak harus dipandang remeh kerana ia berkait rapat dengan kejiwaan dan paling membimbangkan ada di kalangan rakan-rakan saya sendiri mengalami depression ini.

"Atas dasar itu, saya cuba selami hati mereka yang berada di sana menerusi Vlog dan anda boleh menonton episod tersebut di saluran YouTube @officialAizatAmdan," katanya.

Bercerita tentang video muzik Jangan Menagis pula, dia yang baru sahaja berkolaborasi dengan pihak Warner Music Malaysia berkata, karya akustik arahan Al Fahim Mokhtar tersebut memberi nilai sentimental tersendiri.

Malah ia telah mencapai jumlah tontonan sebanyak 1.4 juta sejak ia dimuatnaik ke laman YouTube pada April lalu.

Dalam perkembangan lain  Aizat memberitahu dia menolak untuk tidak menyertai program AF Megastar adalah kerana dia mempunyai banyak perancangan bersama pihak Warner Music selepas ini.

"Saya terpaksa menolak  menyertai AF Megastar kerana tidak cukup masa untuk memberi komitmen pada program tersebut di mana saya dan pihak Warner Music Malaysia sudah mempunyai pelbagai perancangan selepas ini.

"Untuk tidak memberi masalah kepada mana-mana pihak termasuk diri saya sendiri,  saya harus buat keputusan terbaik," katanya yang memilih penyanyi Bob sebagai peserta kegemarannya dalam AF Megastar.

"Bob mempunyai vokal yang sangat bagus dan untuk kekalkan momentumnya di dalam industri seni,  dia perlukan sebuah lagu yang kuat.

"InsyaAllah kalau dia berminat mendapat khidmat lagu dari saya,  saya boleh cuba membantu bagi tujuan itu," ujarnya. - Apakes

Aizat Amdan Ke Wad Pesakit Mental Aizat Amdan Ke Wad Pesakit Mental Reviewed by Lina Slayer on 15:25:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.