Altimet Bakal Bersara Daripada Industri Hiburan?




Ketika irama hip hop dan rap mengalami zaman suram kerana ketandusan bakat serta idea, Altimet antara yang berjuang memartabatkan irama ini dengan penghasilan karya yang baik menjurus topik budaya masyarakat tempatan.

Justeru, keputusan figura seni ini untuk bersara bererti industri hiburan bakal kehilangan seorang penggiat seni yang cukup berbakat besar dalam bidang komposisi lagu juga seorang rapper berwibawa.

Bagaimanapun, keputusan Altimet untuk bersara pada 27 November 2018 sempena ulang tahunnya yang ke-40 adalah muktamad.

“Saya sudah lama rancang untuk bersara iaitu sejak 10 tahun lalu tetapi keadaan tidak mengizinkan saya berbuat demikian. Sempena kedatangan ulang tahun yang ke-40 tahun depan, saya berasakan ia saat terbaik untuk saya mengundurkan diri daripada lapangan muzik dan memberi fokus kepada perniagaan lain pula.

“Saya bersyukur sepanjang perjuangan saya dalam bidang seni, hampir semua yang saya impi dan sasarkan sudah tercapai. Jadi tiba masanya untuk saya memberi fokus pada bisnes. Seperti sekarang ini, saya menguruskan kedai gunting rambut Joe Flizzow dan akan ada beberapa lagi cawangan selepas ini,” katanya.

Sebagai meraikan persaraannya, penyanyi dan pemilik nama sebenar, Ahmad Abdul Rahman, 39, kini merencanakan dua bingkisan album yang bakal menjadi album terakhirnya sebelum meninggalkan pentas hiburan.

“Sebelum berundur, saya akan merakamkan dua album, satu akan keluar pada tahun ini dan satu lagi pada tahun hadapan. Selepas itu, tiada lagi album daripada Altimet dan ini sudah dirancang sejak sekian lama.

“Sedikit informasi mengenai single pertama yang dipetik daripada album ini, saya bakal muncul dengan single baru menyaksikan kolaborasi dengan penyanyi rap baru yang akan didedahkan identitinya kelak.

“Apa yang boleh saya perkatakan mengenai penyanyi ini, biarpun masih baru dan belum dikenali, namun dia memiliki kualiti vokal yang baik,” katanya.

Kata Altimet lagi, walaupun bersara dia akan tetap aktif menghasilkan karya untuk artis tempatan yang ingin mendapatkan sentuhan muziknya.

Tidak mungkin dia akan meninggalkan terus kerana muzik sudah sebati dengan jiwanya, tinggal lagi kali ini sudah tiba masa untuk dia duduk di belakang tabir pula.

Karya nukilan Altimet seperti Amboi, Kalau Aku Kaya dan Negaraku antara lagunya yang mendapat sambutan baik dalam kalangan peminat. - Apakes

Altimet Bakal Bersara Daripada Industri Hiburan? Altimet Bakal Bersara Daripada Industri Hiburan? Reviewed by Lina Slayer on 02:12:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.