‘Angin’ Siti Elizad Berubah-Ubah




Siti Elizad mendedahkan suaminya, Shamsul Baharin Rahman pernah menyangka dia adalah seorang psikopat kerana 'anginnya' sentiasa berubah-ubah apabila dia terlibat dalam sebuah nashkah berat.

Akui Elizad dia memang mudah terbawa-bawa dengan karakter sehingga tidak menyedari sikapnya itu telah membuatkan orang di sekelilingnya terasa hati.

"Jujur saya cakap kalau bawa watak berat memang angin saya senang berubah-ubah, cepat rasa hendak marah dan serba tak kena.

"Dulu suami saya memang ingat saya seorang psikopat kerana sikap saya itu kerana dia tidak tahu sama ada itu adalah diri saya atau watak yang sedang saya lakonkan.

"Tetapi lama-lama dia pun sudah masak dengan sikap saya itu tetapi ada juga dia pesan agar jangan bawa pulang hal kerja ke rumah," katanya.

Pun begitu kata Elizad, Shamsul adalah penyokong dan pengkritik setianya dalam dia memperbaiki teknik lakonannya agar menjadi lebih baik.

Malah kata calon awal Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) itu, setiap kali dia mendapat projek baharu dia akan melakukan latihan bersama suaminya.

"Biasanya memang dia akan kritik saya apabila kami lakukan latihan di rumah dan selalunya suami akan beritahu saya apa yang kurang atau memuji sekiranya saya lakukan sesuatu babak itu dengan betul.

"Seronok sebenarnya berlatih dengan suami sendiri kerana ia juga membantu keyakinan diri selain mengeratkan lagi hubungan kami suami-isteri," ujarnya.

Bercakap mengenai FFM29, Elizad berkata, dia tidak terlalu mengharapkan namanya mendapat pencalonan lima terbaik menerusi kategori Pelakon Wanita Terbaik kerana menyedari persaingan sengit.

Pun begitu katanya, dia gembira apabila filem Harmonika lakonannya itu terpilih di antara 53 buah karya untuk dinilai juri walaupun ia kurang mendapat sambutan penonton.

"Rasanya ramai tidak tahu kewujudan Harmonika kerana ia kurang promosi dan sambutan penonton tetapi Alhamdulillah ia terpilih dalam FFM29.

"Kalau dapat tercalon Alhamdulillah tetapi saya tidak juga mengharap cuma paling penting saya tahu sudah berikan terbaik untuk watak saya dalam filem itu.

"Selebihnya saya serahkan kepada kebijaksanaan juri dalam membuat penilaian," katanya. - Apakes
‘Angin’ Siti Elizad Berubah-Ubah ‘Angin’ Siti Elizad Berubah-Ubah Reviewed by Lina Slayer on 02:47:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.