Bunuh Polis Boleh Cetus Kebimbangan




KUALA LUMPUR - Kamera litar tertutup (CCTV) dan kaedah penugasan di sesetengah balai polis adalah aspek penting yang perlu diberi perhatian.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata menerusi laporan berita yang dibaca, balai polis di mana seorang anggotanya dibunuh, tidak dilengkapi CCTV.

"Pemasangan CCTV ini sangat penting bagi memastikan keselamatan balai dan anggota polis yang bertugas.

"Ramai individu yang keluar masuk dari balai polis, bagi saya semua balai polis di negara ini perlu dilengkapi dengan CCTV.

"Saya difahamkan ada sesetengah balai polis tidak dilengkapi CCTV kerana kekangan peruntukan daripada kerajaan," katanya.

Beliau berkata, satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian adalah penugasan anggota di setiap balai polis.

"Ketika kejadian, mangsa terbabit bersendirian di dalam balai berkenaan, sementara anggota yang lain keluar bertugas membuat rondaan.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku, sekurang-kurangnya dua atau tiga anggota perlu ada bertugas di dalam balai polis pada setiap masa. Ia amat penting jika ada sebarang kecemasan, ada anggota lain yang boleh membantu.

"Walaupun berdepan kekurangan anggota, pihak berkuasa harus menjadikan kejadian pembunuhan ini satu iktibar dan perbaiki setiap kelemahan," katanya.

Lam Thye mengulas kejadian di mana Lans Koperal Valentino anak Mesa, 29, ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam Balai Polis Pinggiran USJ di Subang Jaya dengan kesan tembakan dan tetakan di bahagian belakang tubuhnya.

Kejadian disedari anggota Unit Peronda (MPV) yang pulang semula ke balai berkenaan selepas menjalankan rondaan, kira-kira jam 3.25 pagi semalam.

Mangsa yang berasal dari Sarawak, sudah berkhidmat selama tujuh tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kes pembunuhan ini boleh menimbulkan perasaan takut dan bimbang kepada orang ramai terhadap aspek keselamatan di negara ini.

"Mereka berpendapat, jika kes sedemikian boleh berlaku di dalam sebuah balai polis, sudah pasti ia juga boleh berlaku di mana-mana sahaja," katanya. - Apakes
Bunuh Polis Boleh Cetus Kebimbangan Bunuh Polis Boleh Cetus Kebimbangan Reviewed by Lina Slayer on 02:14:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.