Didakwa Cuba Bunuh Polis




IPOH - Seorang lelaki didakwa atas enam pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini, hari ini atas pelbagai kesalahan termasuk cubaan membunuh serta mencederakan polis dan orang awam di Taman Tasek Jaya, dekat sini, Jumaat lalu.

Penganggur, Leong Chee Kae, 45, didakwa atas lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen membabitkan Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) kerana cubaan membunuh, Seksyen 506 KK kerana melakukan ugutan jenayah, Seksyen 324 KK kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 186 KK kerana menghalang tugas penjawat awam.

Dia juga berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana menggunakan perkataan kurang sopan dan aib terhadap seorang anggota polis.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11 malam dengan cuba untuk membunuh Inspektor Ishak Jumain, Lans Koperal V Prabhakaran, Lans Koperal A Puvandra, Inspektor Nizam Ab Latiff dan Korperal Yong Kok Vui dengan menyimbah cecair dipercayai minyak tanah dan cuba melemparkan lilin menyala kepada mereka.

Bagi tuduhan kedua, Chee Kae pada masa dan lokasi sama didakwa menakutkan secara jenayah Inspektor Ishak Jumain dengan berkata akan membakar beliau jika cuba menangkapnya.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa pada masa dan lokasi sama menyebabkan kecederaan terhadap Lans Korperal A Puvandra menggunakan pisau pemotong daging.

Bagi pertuduhan keempat pada masa dan lokasi sama, dia didakwa menghalang Inspektor Ishak Jumain daripada menjalankan tugas dengan lari masuk ke dalam rumah bagi mengelak ditangkap, selain turut didakwa menggunakan perkataan aib dan kurang sopan terhadap pegawai polis terbabit bagi pertuduhan kelima.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nazatul Natrah Mohd Yusuf, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chiang Mei Wan.

Terdahulu, peguam bela memohon tertuduh dihantar menjalankan pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta kerana keluarga tertuduh mendakwa dia mempunyai rekod berdepan masalah mental.

Hakim membenarkan tertuduh menjalankan pemeriksaan dalam tempoh sebulan dan menetapkan 16 Oktober sebagai tarikh sebutan semula.

Terdahulu, tertuduh turut didakwa di Mahkamah Majistret di sini mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan terhadap orang awam pada tarikh dan lokasi sama.
- Apakes
Didakwa Cuba Bunuh Polis Didakwa Cuba Bunuh Polis Reviewed by Lina Slayer on 00:08:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.