Ditetak Kemudian Ditinggalkan Di Klinik




JERTIH - Seorang lelaki cedera parah di kepala serta luka di lengan dan kaki akibat ditetak, dipercayai bermotifkan dendam dan hutang.

Mangsa berusia 31 tahun, ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di hadapan Klinik Gong Medang, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa bersama anak lelakinya yang berusia tiga tahun diserang ketika dalam perjalanan pulang dari kedai runcitnya di Alor Lintang ke rumah di Taman Desa Gong Badang Alor Lintang.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata mangsa yang memandu kereta HONDA Jazz disekat dua kenderaan pacuan empat roda.

"Mangsa kemudiannya diserang menggunakan senjata tajam. Mangsa sempat menghubungi Balai Polis Kampung Raja memaklumkan dia diserang dan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bergegas ke lokasi kejadian.

"Selepas diserang, mangsa ditinggalkan di hadapan Klinik Gong Medang bersama kenderaannya, manakala anak lelaki mangsa ditinggalkan suspek di rumah adik ipar mangsa di Padang Luas, dekat sini," katanya.

Mohd Zamri berkata, polis sedang menyiasat motif serangan, namun tidak menolak kemungkinan faktor dendam dan hutang sebagai punca kejadian.

Polis juga sedang mengenal pasti jenis senjata digunakan dan jumlah sebenar suspek.

Katanya, mangsa yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dihantar ke Hospital Besut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau benda berbahaya dan Seksyen 363 KK kerana menculik.
- Apakes
Ditetak Kemudian Ditinggalkan Di Klinik Ditetak Kemudian Ditinggalkan Di Klinik Reviewed by Lina Slayer on 13:46:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.