Guru Rogol Pelajar Direman




PETRA JAYA - Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang guru sekolah menengah di Padawan yang didakwa merogol pelajar berusia 14 tahun direman tujuh hari mulai hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Zulhairil Sulaiman selepas menerima permohonan daripada pengawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan, Inspektor Nurliza Md Ruzli.

Guru berusia 51 tahun itu ditahan di kediamannya di Tapah, dekat Siburan kira-kira jam 7 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata penahanan guru itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada ibu pelajar terbabit pada jam 5 petang semalam.

Dalam laporan di Balai Polis Siburan, wanita berusia 44 tahun itu mendakwa guru terbabit mengambil kesempatan terhadap anak perempuannya berusia 14 tahun dengan merogolnya dua kali dalam kereta tempat terpencil di Siburan.

Perbuatan itu terbongkar selepas mangsa menceritakan perbuatan guru terbabit kepada guru kaunseling sekolahnya.

Difahamkan, guru kaunseling itu kemudiannya memberitahu kejadian itu kepada ibu bapa mangsa sebelum laporan polis dibuat.

Berikutan penahanannya, polis turut merampas kereta guru terbabit untuk pemeriksaan forensik.

Dev berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. - Apakes

Guru Rogol Pelajar Direman Guru Rogol Pelajar Direman Reviewed by Lina Slayer on 15:13:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.