Jaclyn Victor Buat Persembahan Ketika Luka Bersalin Masih Tidak Sembuh




Jaclyn Victor memilih bersalin lebih awal menerusi pembedahan pada 24 Ogos lalu kerana ingin mengotakan janji bagi mengadakan persembahan pada majlis penutup Sukan SEA 2017 (KL2017) yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam Sabtu.

Jaclyn ketika dihubungi berkata walaupun luka pembedahannya masih belum sembuh sepenuhnya namun dia tetap bersemangat untuk sama-sama memeriahkan acara bersejarah itu.

"Saya sepatutnya dijangka bersalin pada 29 Ogos lalu tetapi saya dan suami mengambil keputusan untuk awalkan kelahirannya kerana ingin mengotakan janji kepada Sukan SEA yang telah dipersetujui lebih awal.

"Pada awalnya risau juga perlu menyanyi dalam keadaan luka pembedahan masih belum sembuh sepenuhnya tetapi saya memang sudah bersedia dan doktor pun memberikan kebenaran cuma minta saya berhati-hati.

"Sebaik sahaja bersalin saya memang berehat secukupnya sebelum malam persembahan dan syukur semuanya berjalan dengan lancar," katanya kepada mStar Online.

Terdahulu, Jaclyn mengejutkan peminat apabila mendedahkan dia selamat melahirkan bayi keduanya seminggu lalu di Hospital Pantai Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Gemilang itu berkata, walaupun masih dalam tempoh berpantang namun dia berbangga dapat menjadi sebahagian daripada acara itu.

Malah katanya, sebagai anak Malaysia dia teruja dapat memberi sedikit sumbangan menghiburkan hadirin pada temasya itu.

"Saya sudah memberikan yang terbaik pada persembahan itu dan sebagai anak Malaysia saya memang cukup berbangga dapat sama-sama menyertai acara gilang-gemilang itu," katanya.

Pada acara itu, Jaclyn tampil menyanyikan lagu duet bersama Vince Chong iaitu Together We Rise selain Gemilang.

Menjelaskan tindakan merahsiakan kehamilan keduanya itu, Jaclyn berkata, dia berbuat demikian kerana tidak mahu dilayan secara berbeza yang akan menyebabkan karier nyanyiannya terganggu sekiranya dia mendedahkan perkara itu.

"Saya memang seorang yang privasi sejak dari dahulu lagi malah ketika mengandungkan anak pertama pun saya tidak dedahkan sehinggalah kandungan saya mencecah usia enam bulan.

"Selalunya apabila orang tahu kita hamil layanan itu akan berbeza walaupun saya sebenarnya ok sahaja malah lincah seperti biasa.

"Ia sekaligus akan menggangu kerja saya tambahan pula sudah banyak undangan persembahan yang saya persetujui lebih awal dan ingin mengelakkan masalah," jelasnya.

Bercakap lanjut mengenai anak perempuannya, Jaclyn berkata, dia pada awalnya menyangkakan dia akan mendapat anak lelaki namun teruja apabila diberitahu sebaliknya.

Kata Jaclyn, sepanjang kehamilannya juga dia berada dalam kedaan baik dan bayinya itu tidak banyak meragam dan senang diuruskan.

"Saya ada tiga orang abang dan saya satu-satunya perempuan dalam keluarga jadi saya memang menyangka akan dapat seorang lagi anak lelaki.

"Memang saya sangat gembira dapat tahu hamil anak perempuan dan paling penting dia lahir pada tarikh sama dengan abangnya," ujarnya yang memberi nama Molly Marguerite Rivera kepada bayinya itu.

Jac, 38, berkahwin dengan bintang R&B Amerika Syarikat, Shawn Rivera, 43, pada 19 Julai 2014 di The First Unitarian Church of Philadelphia yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak. - Apakes
Jaclyn Victor Buat Persembahan Ketika Luka Bersalin Masih Tidak Sembuh Jaclyn Victor Buat Persembahan Ketika Luka Bersalin Masih Tidak Sembuh Reviewed by Lina Slayer on 02:31:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.