"Kalau Profesional Dan Ikhlas Orang Akan Suka" - Syafiq Kyle




Sehabis daya kedua-duanya cuba menepis sebarang kontroversi apatah lagi mengenai gosip yang mengatakan mereka kini sedang saling berkongsi hati.

Malah, semakin dielak, semakin banyak pula rantaian cerita cinta mengenai mereka dek penangan drama popular Mencintaimu Mr. Photographer (MMP) yang menjadi punca mengapa pelakon cantik Hannah Delisha dan si pemilik senyuman manis, Syafiq Kyle ini susah hendak berenggang.

Tidak dinafikan, drama bersiri arahan sutradara Eyra Rahman ini banyak membawa banyak petanda baik buat mereka. Paling utama adalah daripada sudut populariti dengan kebanyakan respons yang diterima rata-ratanya sangat positif.

Memiliki pengaruh tersendiri seiring dengan impak yang diterima menerusi drama tersebut, ia membawa dua pelakon ini ke tanah Singapura pada hujung minggu lalu untuk bertemu dengan peminat-peminat di sana yang mana, menurut Hannah dan Syafiq, ia merupakan satu pengalaman baharu yang tidak pernah dirasai sebelum ini.

Kemeriahan bahkan turut dirasai apabila Hannah dan Syafiq turut ditemani Eyra Rahman yang seharian bersama-sama menghangatkan sesi ramah mesra itu tempoh hari yang turut ditaja The Hamann Industries Sdn Bhd.

Syafiq yang tiba bersama Hannah di Singapura pada pukul 2 petang berasa bertuah kerana drama MMP membuka peluang berbeza buatnya sebagai seorang pelakon selama tujuh tahun berada dalam industri hiburan.

“Syukur kerana ramai yang semakin memberi perhatian pada saya terutama dari segi bakat lakonan. Drama ini memberi impak besar pada saya dan terus-terang tak pernah terlintas di fikiran pun untuk dilabel sebagai artis popular atau tidak kerana MMP.

“Itu bukan soal utama kerana yang penting adalah fokus saya untuk mengekalkan momentum yang baik untuk menjadi pelakon bermutu,”katanya.

Berkongsi lanjut, kata Syafiq, dia percaya mana-mana pelakon seharusnya meletakkan keikhlasan yang tinggi ketika menggalas tanggungjawab dan tidak cuma memikirkan soal drama itu akan menjadi hits atau tidak.

“Senang cerita, kalau profesional dan ikhlas, hasilnya tentu orang akan suka. Saya tak mahu terlalu kusut memikirkan benda-benda lain dan cuma fokus pada hasil kerja saya sahaja.

“Yang lain tu semua adalah bonus. Saya sedar pengalaman juga banyak mematangkan saya dan ia juga satu hijrah yang baik di mana ia menukar cara saya berfikir dan cara juga bekerja.

“Sekarang saya pun dah tak gemar memikirkan perihal remeh-temeh, gosip atau apa, itu semua saya ketepikan dahulu,”katanya.

Alang-alang menyebut mengenai gosip, Syafiq dalam senyuman tahu ramai yang masih menganggap dia dan Hannah saling bercinta apatah lagi selepas timbul khabar bahawa kedua-duanya sekali lagi akan digandingkan dalam sebuah projek filem.

Masih menjadi teka-teki, kata Syafiq, dia tidak menolak andai sekali lagi bekerjasama dengan Hannah kerana keserasian sudah lama tercipta antara mereka.

“Saya suka saja kalau digandingkan lagi dengan Hannah. Lagi bagus, tak payah nak susah-susah cari keserasian sebab memang dah sedia ada. Nak pandang mata dia lama-lama pun tak ada masalah.

“Saya tak nak jawab soal cinta. Biarlah orang nak cakap apa pun, saya okey sahaja,” katanya yang sengaja membiarkan persoalan terus tinggal tanda tanya.

Dalam pada itu, Syafiq menolak andaian bahawa populariti yang dikecapi kini menarik minat banyak pihak dan pengusaha produk kecantikan dan kesihatan sehingga dia mula bersikap demand.

“Memang ada yang menawarkan saya jadi duta untuk produk dan sebagainya. Tetapi sehingga sekarang saya masih belum memberi kata putus untuk mana-mana produk dan tidak ada isu demand.

“Tidak salah pun untuk seseorang artis itu nak demand andai ia setimpal dengan komitmen yang harus diberikan. Ia soal sama ada pihak tu hendak bayar atau tidak sahaja,”katanya.

Sama seperti Syafiq, pemegang watak Aira dalam drama MMP ini juga merasa bertuah kerana gandingannya bersama aktor berkenaan diterima baik oleh semua peminat meski ada yang benar-benar menganggap kedua-dua mereka saling mencintai.

Tak sanggup ‘melukakan’ hati peminat, kata Hannah, andai bisa, dia mahu peminat memahami situasi dirinya masih muda dan tentunya masih banyak perkara yang menanti di hadapan terutama dari segi kerjaya.

Mengaku tidak menolak andai sekali lagi berjodohan dengan Syafiq di layar perak, Hannah bagaimanapun mahu peminat tahu bahawa ia tiada kaitan dengan soal cinta.

“Kalau ia terjadi, peminat harus faham, bukan saya yang memilih siapa hero gandingan. Saya tahu, siapalah saya untuk menasihatkan orang, tetapi tidak semestinya saya berlakon dengan dia, maka saya memang ada apa-apa dengan dia.

“Bagi saya mudah, ini semua rezeki Allah SWT nak bagi dan selagi ada ‘jodoh’ untuk bekerjasama, saya tak tolak,” katanya.

Mengaku sangat menjaga kualiti kerjanya, kata Hannah, dia tidak mahu ada yang menganggap meskipun diri sudah popular, ia adalah tiket untuk dia mula mendabik dada atau berubah karektor.

“Sebagai artis, saya tahu tidak boleh lari daripada sebarang gosip atau kontroversi. Kalau tak ada pun, orang akan adakan atas pelbagai tujuan.

“Tetapi setakat ini saya bersyukur kerana belum ada gosip yang bukan-bukan menghimpit. Namun saya sudah bersedia untuk berdepan dengan semua itu, bukanlah mahu berlagak, tetapi saya rasa selagi Tuhan tahu apa yang saya lakukan dan saya tak lupakan Dia, saya tak perlu bimbang,” katanya.

Cuma tersenyum ketika dilayangkan kata pujian kerana dia dilihat pandai menjaga diri, Hannah berterima kasih kepada ibunya, Noor Ashikin Ahmad, yang disifatkan sentiasa menjadi tulang belakangnya selama ini.

“Walaupun saya masih muda, saya kena jaga diri demi kepentingan karier. Saya bertuah kerana ada ibu dan orang-orang di sekeliling yang banyak memberi sokongan.

“Cuma satu, saya mahu orang tahu bahawa walau macam mana pun, saya tetap manusia biasa dan tak lari daripada melakukan kesilapan dan tak sempurna,”katanya.

Sedar bahawa banyak cabaran yang harus ditempuh untuk menjadi seorang anak seni yang berjaya, kata pelakon berusia 21 tahun ini, dia yakin kesabaran mampu menjadi kunci kejayaan.

“Saya yang perlu jadi manusia kuat. Banyak impian yang saya nak kejar dan saya tak nak terlalu mudah putus asa. Tolak pasal nak jadi popular atau tidak, ia bukan perkara pokok.

“Apa yang saya tahu, saya tetap mahu jadi Hannah yang sama walaupun saya sudah berjaya nanti,”katanya. - Apakes
"Kalau Profesional Dan Ikhlas Orang Akan Suka" - Syafiq Kyle "Kalau Profesional Dan Ikhlas Orang Akan Suka" - Syafiq Kyle Reviewed by Lina Slayer on 15:23:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.