"Kenapa Nak Ambil Kira Yang Negatif Sedangkan Banyak Yang Positif" - Zizan Razak




Pelawak Zizan Razak menganggap pengacaraannya pada malam Festival Filem Malaysia ke 29 (FFM29) pada malam Sabtu tidak keterlaluan.

Zizan, 33, berkata, apa yang disampaikan pada malam berkenaan tidak mendapat sebarang teguran daripada pihak produksi.

"Pada saya kalau penonton gelak dan terhibur itu sudah cukup dan pihak produksi juga suka dengan perjalanan majlis malam ini.

"Saya juga tidak rasa apa yang saya sampaikan malam ini terlalu kasar dan penonton juga bijak menerimannya.

"Saya tidak bergurau berlebih-lebihan kerana apa yang saya cakap ditapis oleh pihak produksi. Mereka tidak cakap apa-apa pun," ujarnya.

Zizan ditemui selepas selesai siaran langsung anugerah FFM29 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Sabtu.

Pelawak tersebut mengulas pendapat segelintir penonton yang kurang senang dengan cara penyampaiannya mengacarakan majlis rasmi tersebut.

Malah, Zizan juga dikatakan bergurau kasar sehingga menyinggung perasaan Datuk Hans Isaac dan Datuk Eizlan Yusof berkaitan gelaran Datuk.

Sementara itu, pelakon filem Abang Long Fadil 2 ini berkata, penonton seharusnya tidak memperbesarkan hal remeh temeh berkenaan.

Katanya, semua pihak perlu memberi tumpuan dan perhatian kepada para pemenang, bukannya perkata negatif yang berlaku.

"Kenapa nak ambil kira perkara negatif sedangkan kita banyak perkara positif yang boleh dibincangkan malam ini.

"Bagaimanapun, kritikan adalah sesuatu yang baik dan bermakna ramai yang menonton siaran langsung tersebut," ujarnya.

Zizan turut dikritik menggunakan kaca mata hitam ketika mengacarakan majlis berkenaan.

Dalam pada itu, menjawab tentang kritikan Afdlin Shauki yang mengkritik dia berkaca mata pada malam berkenaan, Zizan berkata, Afdlin tidak faham perjalanan majlis berkenaan.

Kata Zizan, dia tampil dengan imej demikian selepas membuat persembahan pembukaan.

"Dia mungkin tak faham perjalanan majlis itu. Saya pakai kaca mata sekejap sahaja selepas buat persembahan," ujarnya. - Apakes
"Kenapa Nak Ambil Kira Yang Negatif Sedangkan Banyak Yang Positif" - Zizan Razak "Kenapa Nak Ambil Kira Yang Negatif Sedangkan Banyak Yang Positif" - Zizan Razak Reviewed by Lina Slayer on 12:33:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.