Maut Dalam Tandas Stesen Minyak




KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an ditemui mati dalam tandas sebuah stesen minyak di Merang, Setiu, awal pagi ini.

Kejadian disedari seorang pekerja stesen minyak berkenaan selepas melihat sebuah motosikal ditinggalkan lebih sejam di hadapan tandas itu, kira-kira jam 5 pagi.

Dia yang mengesyaki kemungkinan berlaku kejadian tidak diingini terutama apabila mendapati pintu tandas dikunci dari dalam, kemudian menghubungi pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris, ketika dihubungi, berkata Balai Bomba dan Penyelamat Setiu dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 6.43 pagi.

"Pada mulanya pekerja stesen minyak itu tidak mengesyaki apa-apa. Namun selepas lebih sejam motosikal berkenaan masih ada di situ dan pintu tandas pula berkunci dari dalam, lelaki itu menghubungi polis.

"Bomba yang dimaklumkan mengenai kejadian kemudian bergegas ke lokasi dan menggunakan alat pemotong untuk membuka pintu tandas.

"Selepas pintu dibuka, lelaki itu ditemui dan disahkan meninggal dunia dalam tandas berkenaan," katanya.

Zulkifli berkata, mayat dihantar ke Hospital Daerah Setiu untuk siasatan lanjut.

Katanya, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri termasuk kad pengenalan mangsa di tempat kejadian.

"Semakan dilakukan mendapati motosikal yang digunakan mangsa dimiliki seorang lelaki dari Kampung Penarik, Setiu," katanya.

Zulkifli berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan setakat ini kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau turut meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat mengenai mangsa menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. - Apakes

Maut Dalam Tandas Stesen Minyak Maut Dalam Tandas Stesen Minyak Reviewed by Lina Slayer on 16:54:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.