Maut Ditembak Anak Saudara




MACHANG - Seorang lelaki maut selepas ditembak anak saudaranya dalam kejadian di Kampung Kerilla, Temangan, Machang, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, Rosmadi Abdul Aziz, 49, yang cedera parah di perut dan dada, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Temangan, di sini.

Rakan Rosmadi, Mohd Rosdi Husin, 55, yang berada di sebelah mangsa turut terkena peluru penabur dari senapang yang digunakan suspek berusia 20 tahun, namun hanya calar di bahagian lengan kanan.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Abdul Ghani, berkata sebelum kejadian, mangsa keluar dari rumah bersama rakannya untuk membeli barang bagi membaiki paip yang rosak.

Beliau berkata, ketika ketiadaan mangsa, suspek memecah masuk rumah dan mengambil senapang milik bapa saudaranya itu, yang juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Sebaik mangsa pulang bersama rakannya untuk membaiki paip di luar rumah, dengan tiba-tiba suspek menembak satu das ke arah bapa saudaranya dari jarak 10 hingga 15 meter. Tembakan itu menyebabkan mangsa cedera parah di perut dan dada.

"Suspek terus berlari pulang ke rumahnya untuk bersembunyi bersama senapang. Suspek berjaya ditahan hasil bantuan bapa tiri dan adik suspek yang berunding supaya menyerah diri," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Dzulkifli berkata, hasil tangkapan itu, polis merampas senapang bersama satu peluru penabur yang masih berada dalam senjata berkenaan.

Katanya, suspek mempunyai penyakit mental, selain turut dikesan positif Metapithamine.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati, suspek terlebih dahulu bertengkar dengan mangsa dan menuduh bapa saudaranya itu mengambil parang miliknya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Apakes
Maut Ditembak Anak Saudara Maut Ditembak Anak Saudara Reviewed by Lina Slayer on 01:20:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.