Maut Jatuh Kolam Ketika Swafoto




SUNGAI PETANI - Seorang remaja maut akibat lemas selepas terjatuh ke dalam kolam terbiar di Bandar Puteri Jaya Hillpark, di sini, petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang ketika mangsa, Muhamad Nor Faizal Osman, 19, yang juga orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran, dan lima rakan mengunjungi kawasan kolam terbiar itu untuk bergambar.

Difahamkan, mangsa yang dikenali dengan panggilan 'Bulat' terjatuh selepas tergelincir ketika merakam swafoto di pinggir kolam bersama-sama lima rakannya itu, sebelum dikatakan terkapai-kapai dan tenggelam.

Rakan mangsa, Muhamad Irfan Rosdi, 15, berkata sejurus Bulat terjatuh, adiknya, Muhamad Haikal Aiman, 10, terus terjun untuk menyelamatkan sahabat mereka itu yang ketika itu terkapai-kapai di permukaan air, namun gagal.

"Adik (Muhamad Haikal Aiman) bukan sahaja gagal tarik Bulat, malah dia sendiri turut lemas.

"Melihat keadaan itu saya segera terjun ke kolam untuk membantu. Saya dapat capai tangan adik dan cuba menarik tangan Bulat, tapi gagal. Saya kemudian menolak adik ke atas sambil dibantu rakan lain dari atas.

"Saya cuba mencari Bulat, tapi tiada dan dia hilang terus di dalam kolam itu. Takut dengan kejadian itu, kami berlima meminta bantuan daripada seorang lelaki yang ditemui yang kemudian menghubungi polis," katanya.

Muhamad Irfan berkata, mereka berenam datang ke kolam itu dengan menunggang basikal dari rumah di Seksyen 1 Bandar Puteri Jaya kira-kira jam 4.30 petang untuk bergambar, namun tidak menyangka ia swafoto terakhir mereka.

Sementara itu Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Penguasa Bomba II Azlan Abdul Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 5.21 petang, sebelum sepasukan lapan anggota bergegas ke tempat kejadian dengan tiga jentera termasuk ambulans EMRS.

Sebaik tiba, katanya pihaknya mencari mangsa yang dipercayai tengelam di dasar kolam itu.

"Mangsa kemudian ditemui tidak jauh dari lokasinya jatuh kira-kira 10 minit kemudian dan mayatnya dibawa ke darat, sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim di sini. - Apakes

Maut Jatuh Kolam Ketika Swafoto Maut Jatuh Kolam Ketika Swafoto Reviewed by Lina Slayer on 23:41:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.