Mayat Warga Asing Ditemui Tepi Semak




SHAH ALAM - Mayat seorang warga Pakistan ditemui dengan kesan bakar dan tikaman di tepi semak berhadapan Rumah Pam Air, Jalan Padang Jawa, Seksyen 16, di sini, tengah hari tadi.

Berikutan itu, polis sedang mengesan sepasang suami isteri warga Indonesia yang dipercayai ada kaitan dengan penemuan mayat berkenaan pada kira-kira jam 1.20 tengah hari.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Nek Zaidi Zakaria berkata, mangsa, Ali Amjad, 25, seorang penjual permaidani, dilaporkan hilang oleh adiknya yang membuat laporan di Balai Polis Seri Muda, pada 8 September lalu.

"Polis menemui mayat mangsa yang mulai mereput dalam keadaan mengiring di sebelah kanan dengan muka menghadap tanah.

"Pemeriksaan pada si mati mendapati kesan lubang seluas kira-kira seinci pada bahagian kiri dada mangsa, disyaki kesan tikaman dan lelaki itu dipercayai mati sejak tiga hingga empat hari lalu manakala tiada dokumen pengenalan diri ditemui padanya.

"Siasatan pasukan forensik di lokasi kejadian juga menemui satu bekas putih disyaki diisi petrol," katanya.

Nek Zaidi berkata, si mati dipercayai mempunyai hubungan dengan seorang wanita warga Indonesia yang sudah berkahwin.

"Motif kematian disyaki cemburu. Adik simati mengesahkan abangnya ada hubungan dengan perempuan Indonesia dikenali dengan nama Verlina. Hubungan itu sudah diketahui oleh suami Verlina," katanya.

Beliau berkata, pengecaman dilakukan oleh adik mangsa berdasarkan kepada besi pada lutut kiri kesan kemalangan sebelum ini.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses bedah siasat.

"Siasatan lanjut masih diteruskan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
- Apakes

Mayat Warga Asing Ditemui Tepi Semak Mayat Warga Asing Ditemui Tepi Semak Reviewed by Lina Slayer on 03:06:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.