Nyaris Dihanyut 'Kepala Air'




SUNGAI PETANI - Tujuh pengunjung pusat rekreasi Sungai Tupah, dekat Merbok, di sini, berdepan detik cemas apabila terperangkap ketika kawasan itu dilanda 'kepala air' petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.40 petang apabila paras air di kawasan sungai itu meningkat secara tiba-tiba disusuli arus deras ketika semua mangsa termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun sedang mandi.

Semua mangsa berusia antara enam hingga 39 tahun itu dikatakan sempat bergerak ke seberang sungai sebaik menyedari paras sungai meningkat, namun terperangkap akibat arus deras.

Malah seorang mangsa berusia 14 tahun dikatakan gagal menyeberang dan dihanyutkan arus, namun bernasib baik kerana sempat berpaut pada ranting pokok dan naik ke darat.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Penguasa Bomba Kanan Mohd Hafizul Ishak, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.42 petang dan sembilan anggota bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera dan ambulans EMRS.

"Sebaik tiba tindakan segera diambil bagi membawa semua mangsa ke lokasi selamat kerana mereka terperangkap dan tidak boleh bergerak berikutan keadaan arus yang deras.

"Pihak kami terpaksa menggunakan tali untuk membawa mereka menyeberangi sungai seorang demi seorang, termasuk remaja yang terperangkap kira-kira 100 meter daripada lokasi enam mangsa yang terkandas itu," katanya.

Beliau berkata semua mangsa berjaya dibawa ke tebing dan operasi menyelamat selesai jam 6.15 petang. \
- Apakes
Nyaris Dihanyut 'Kepala Air' Nyaris Dihanyut 'Kepala Air' Reviewed by Lina Slayer on 02:21:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.