Papan Tanda Gergasi 'IPOH' Dipanjat Lagi




IPOH - Tindakan berani sekumpulan anak muda memanjat mercu tanda gergasi 'IPOH' berhampiran Kilometer 294.4, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat sini menjadi perhatian selepas video mereka menjadi viral di laman sosial hari ini.

Video berdurasi 60 saat itu memaparkan sekumpulan anak muda yang diberi gelaran 'Super8 Ipoh' membuat Jalur Gemilang gergasi.

Klip video berkenaan kemudian turut menunjukkan enam daripada mereka kelihatan berada di atas mercu tanda berkenaan sambil mengibarkan bendera itu sempena sambutan Hari Malaysia.

Dipercayai, ada antara kumpulan itu adalah individu yang sama memanjat satu lagi papan tanda gergasi 'IPOH' di Jalan Kuala Kangsar di sini, awal tahun ini sehingga ianya menjadi kontroversi.

Ketua kumpulan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Faiz, 24, berkata mereka tidak serik untuk mempamerkan aksi berbahaya itu kerana hanya berniat mahu melakukan sesuatu bagi menunjukkan semangat anak muda terhadap sambutan Hari Malaysia.

"Niat kami memang untuk menjadikan video itu viral kerana mahu menunjukkan kepada orang ramai tentang semangat serta keharmonian kami pelbagai bangsa menyambut Hari Malaysia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, setiap rakannya seramai enam orang menaiki mercu tanda itu menggunakan tali yang mengikat pinggang tubuh masing-masing pada palang besi mercu terbabit.

Katanya, dia mengakui tidak meminta sebarang kebenaran dari mana-mana pihak di lokasi berkenaan kerana mendapati lokasi itu tidak berpagar dan tiada papan tanda larangan bagi penceroboh.

"Tiada sebarang papan tanda mahupun pagar di kawasan berkenaan, jadi kami memberanikan diri memanjat mercu tanda terbabit sebelum mengibarkan Jalur Gemilang yang mengambil masa kurang daripada 10 minit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Koon Soon, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang laporan polis mengenai perkara itu.

Tinjauan BH di lokasi mercu tanda gergasi 'IPOH' berkenaan pula mendapati tiada bendera gergasi Jalur Gemilang masih terpasang atau ditinggalkan di situ. - Apakes
Papan Tanda Gergasi 'IPOH' Dipanjat Lagi Papan Tanda Gergasi 'IPOH' Dipanjat Lagi Reviewed by Lina Slayer on 03:30:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.