Pengasuh Disyaki Dera Bayi 8 Bulan




KAJANG - Polis menahan seorang pengasuh selepas disyaki mendera seorang bayi perempuan berusia lapan bulan di Taman Bukit Mutiara, Kajang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata pihaknya menahan wanita berusia 24 tahun itu selepas menerima laporan dibuat pembantu perubatan Hospital Kajang, semalam.

"Laporan dibuat selepas pengadu menemui kesan disyaki akibat penderaan selepas menerima dan memeriksa bayi terbabit.

"Bayi perempuan itu dihantar ke rumah pengasuh pagi kelmarin oleh ibunya yang juga seorang anggota polis.

"Selepas menghantar anaknya, wanita berkenaan terus ke tempat kerja untuk mendapatkan cuti kecemasan sebelum kembali ke rumah suspek untuk membawa anaknya ke klinik.

"Ketika berada di luar rumah suspek, dia terdengar tangisan kuat anaknya dan apabila menghubungi suspek, wanita itu mendakwa bayinya tidur dan berkeadaan baik.

"Ibu bayi itu kemudian masuk ke rumah pengasuh berkenaan dan mengambil anaknya lalu dibawa ke kereta.

"Selepas diperiksa, wanita itu mendapati ada kesan merah seperti ditampar di pipi bayinya. Beliau cuba menghubungi suspek untuk bertanyakan perkara itu tetapi telefon bimbit suspek dimatikan" katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, suspek ditahan di rumahnya pada jam 8 malam tadi dan direman sehingga Jumaat ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya. - Apakes
Pengasuh Disyaki Dera Bayi 8 Bulan Pengasuh Disyaki Dera Bayi 8 Bulan Reviewed by Lina Slayer on 00:06:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.