Pesanan, Pelukan 'Hadiah Terakhir' Daripada Anak




KUALA LUMPUR - Pelukan erat dan kata-kata pesanan berulang kali supaya menjaga diri pada pertemuan akhir mereka, kini menjadi kenangan dan pengubat rindu seorang ibu terhadap anaknya yang maut dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat pagi semalam.

Hudah Abdul Ghani, 54, ibu kepada Allahyarham Muhammad Haikal Abdullah, pelajar pusat tahfiz itu sama sekali tidak menyangka kata-kata dan pelukan erat anaknya pada pertemuan mereka Rabu lepas adalah 'hadiah terakhir' sebelum anak bongsunya pergi selama-lamanya.

"Umi, jaga diri baik-baik..umi, jaga diri baik-baik...umi, jaga diri baik-baik," ulang Hudah dalam keadaan sebak berhubung pesanan dan kata-kata terakhir anak kesayangan daripada tujuh adik beradik, yang diakuinya masih terngiang-ngiang sehingga ini.

Sejurus selepas pengebumian berakhir, ibu itu berkata mereka sekeluarga sepatutnya berkumpul hari ini untuk bertemu Allahyarham di Taman Tasik Datuk Keramat, yang terletak berhampiran pusat tahfiz itu, namun waktu yang ditunggu-tunggu keluarga itu tidak kesampaian berikutan tragedi kebakaran yang menimpa.

Menurut Hudah, anaknya baharu sembilan bulan belajar di pusat tahfiz itu atas kerelaannya sendiri selepas bersekolah di Sekolah Kebangsaan Polis Depot, Jalan Semarak di sini.

Pada pertemuan terakhir itu juga ibunya berkata, Allahyarham Muhammad Haikal sempat bermanja sambil meluahkan rasa gembira kerana akan mula membaca dan menghafaz al -Quran keesokan harinya (Khamis).

Allahyarham Muhammad Haikal,12, seorang daripada 21 pelajar yang maut dalam kebakaran pada jam 5.15 pagi itu. Dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu turut terkorban selain enam pelajar lain dan seorang awam turut tercedera dalam kebakaran itu.

Terdahulu, suasana pilu menyelubungi upacara pengebumian Allahyarham Muhammad Haikal di Tanah Perkuburan Islam Kampung Datuk Keramat,di sini kira-kira 500 meter daripada lokasi kejadian.

Jenazah tiba di perkarangan tanah perkuburan itu pada 6.50 petang tadi dan selamat dikebumikan 20 minit kemudian sambil disaksikan dengan genangan air mata oleh 150 anggota anggota keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham serta rakan-rakannya yang maut telah disembahyangkan di surau kuarters Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah proses padanan DNA selesai petang tadi sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk ke lokasi pengebumian.


Pesanan, Pelukan 'Hadiah Terakhir' Daripada Anak Pesanan, Pelukan 'Hadiah Terakhir' Daripada Anak Reviewed by Lina Slayer on 03:16:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.