Rogol Anak, Buruh Dipenjara 480 Tahun




SARIKEI - Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 480 tahun selepas mengaku bersalah terhadap 16 pertuduhan merogol anaknya yang berusia 13 tahun sejak awal tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Maris Agan, menjatuhkan hukuman 30 tahun penjara bagi setiap pertuduhan, selain 18 sebatan ke atas tertuduh.

Hakim bagaimanapun mengarahkan hukuman penjara itu berjalan serentak, bermula hari ini.

Terdahulu, tertuduh, 38, mengaku bersalah terhadap 12 tuduhan merogol mangsa di sebuah bilik di kediamannya di sebuah rumah panjang di Sungai Bulat, dekat sini, di antara Januari dan Disember tahun lalu.

Tertuduh juga mengaku bersalah terhadap empat tuduhan melakukan kesalahan yang sama beberapa kali dan di lokasi yang sama sejak Julai hingga 5 September tahun ini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan. Mengikut fakta kes, tertuduh memperkosa mangsa setiap malam sejak Januari hingga Disember tahun lalu.

Tahun ini, mangsa tinggal di asrama sekolahnya dan selamat daripada dirogol bapanya selepas dikesan menghidap ketumbuhan pada ovari.

Mangsa diarah menjalani pembedahan untuk membuang ovarinya sebelum pertengahan tahun ini kerana dikhuatiri ketumbuhan yang dialaminya itu merebak.

Bagaimanapun, selepas menjalami pembedahan itu, tertuduh mengulangi semula perbuatannya sejak Julai lalu apabila merogol mangsa setiap kali mangsa balik ke rumah pada hujung minggu. Keadaan itu berlarutan pada bulan Ogos hingga awal bulan ini.

Pada pagi selepas kali terakhir dia dirogol pada 5 September lalu, mangsa mengadu kepada ibunya yang dia mengalami kesakitan berterusan pada perutnya berhampiran tempat pembedahan. Mangsa bagaimanapun tidak mendedahkan dia menjadi mangsa rogol bapanya.

Bagaimanapun, mangsa tidak dapat menahan kesengsaraannya dan memaklumkan perbuatan kejam bapanya itu kepada seorang guru di sekolahnya, yang kemudian membuat laporan polis menyebabkan suspek ditahan pada 7 September lalu.

Pada prosiding hari ini, pegawai pendakwa, Inspektor G Anbarasu, memohon kepada mahkamah untuk mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh kerana perbuatannya itu menyebabkan mangsa mengalami trauma sepanjang hidup.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu kepada mahkamah supaya meringankan hukuman terhadapnya. - Apakes
Rogol Anak, Buruh Dipenjara 480 Tahun Rogol Anak, Buruh Dipenjara 480 Tahun Reviewed by Lina Slayer on 03:27:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.