Sebar Maklumat Sulit: 13 Polis Diambil Keterangan




KUALA LUMPUR - Polis sudah merakam keterangan 13 anggota dan pegawainya berhubung 'kebocoran' fakta sulit tangkapan dan gambar enam daripada tujuh suspek yang mendalangi kebakaran sebuah pusat tahfiz di Keramat Hujung, Kampung Dato Keramat di sini, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, berkata siasatan berhubung perkara itu sudah dimulakan sejak semalam mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan (pendedahan maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Seramai 13 saksi terdiri daripada pegawai dan anggota polis sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

"Namun tiada sebarang tangkapan dibuat," katanya dalam satu kenyataan, tadi.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh terpaksa mempercepatkan sidang media berhubung tangkapan tujuh suspek yang mendalangi kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa.

Sidang media berkenaan yang pada mulanya dijadualkan pada jam 11 pagi hari ini terpaksa dipercepatkan kepada jam 8 malam tadi susulan penyebaran meluas mesej berhubung fakta kes dan gambar suspek yang diklasifikasikan sebagai sulit di aplikasi bual seperti WhatsApp serta di laman media sosial, sejak petang semalam.

Susulan itu, pihak polis menjalankan siasatan terperinci bagi mencari dalang sebenar kepada pembocoran maklumat-maklumat sulit berkenaan.

Amar Singh pada sidang medianya semalam, turut meminta orang ramai supaya berhenti daripada menyebar fakta kes berkenaan yang boleh mengganggu siasatan dan menjejaskan proses perundangan di mahkamah.

"Mereka yang didapati menyebar maklumat itu boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan," katanya. - Apakes
Sebar Maklumat Sulit: 13 Polis Diambil Keterangan Sebar Maklumat Sulit: 13 Polis Diambil Keterangan Reviewed by Lina Slayer on 02:49:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.