SPRM Mohon Reman Setiausaha Politik, Kakitangan Ahli Parlimen




KUALA LUMPUR - Setiausaha politik seorang Ahli Parlimen serta dua lagi individu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapatkan perintah tahanan reman ke atas mereka, hari ini.

Sepasukan enam pegawai SPRM dilihat mengiringi Setiausaha Politik berusia 45 tahun terbabit yang memakai kemeja kelabu dan berseluar gelap dalam keadaan bergari masuk ke dalam IPD berkenaan, jam 10.05 pagi tadi.

Dua lagi suspek dikatakan sudah berada di dalam IPD berkenaan lebih awal.

Terdahulu, peguam yang juga Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa bersama dua lagi peguam dilihat masuk ke IPD berkenaan kira-kira 10 minit sebelum suspek di bawa masuk.

Semalam, BH melaporkan SPRM menahan tiga kakitangan seorang Ahli Parlimen bagi membantu siasatan kes rasuah dalam isu berkaitan imigresen.

Mereka yang ditahan berkhidmat sebagai setiausaha politik, pembantu peribadi dan kerani kepada Ahli Parlimen itu.

Setiausaha politik berkenaan ditahan di pejabat SPRM Kuala Lumpur kira-kira jam 8 malam tadi, selepas pasukan penyiasat menahan kerani dan pembantu peribadi Ahli Parlimen terbabit, dipercayai membabitkan suapan berjumlah RM20,000.

Sumber memaklumkan, kerani dan pembantu peribadi berkenaan ditahan di sebuah restoran di Taman Maluri kira-kira jam 1.45 tengah hari semalam.

Maklumat awal mengatakan syarikat milik pengadu dikatakan pernah membawa masuk pekerja asing bertaraf buruh menggunakan kelayakan profesional dan diketahui oleh ketiga-tiga suspek.

Pengadu mendakwa diminta menyediakan wang RM55,000 bagi menyelesaikan urusan berkaitan imigresen. - Apakes
SPRM Mohon Reman Setiausaha Politik, Kakitangan Ahli Parlimen SPRM Mohon Reman Setiausaha Politik, Kakitangan Ahli Parlimen Reviewed by Lina Slayer on 16:00:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.