Tangan Tertusuk Besi Melantun Di Lebuh Raya




YONG PENG - Seorang penunggang motosikal terpaksa menahan sakit hampir sejam, apabila sebatang besi yang berada di atas jalan raya, melantun sebelum menusuk tangannya dalam kejadian di Kilometer (KM) 113 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran susur keluar Yong Peng Utara di sini, tengah hari semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Sulaiman Lamin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.19 tengah hari sebelum sebuah jentera dikejarkan ke lokasi berkenaan.

"Ketika tiba, mangsa yang dikenali sebagai Zul Afkar Mohd Radzhi, 22, bersama rakannya sudah berada ditepi laluan lebuh raya dengan keadaan besi sepanjang kira-kira satu meter yang tertusuk di jari tangannya.

"Pihak bomba kemudiannya mengambil masa selama kira-kira 50 minit untuk memotong besi terbabit, sebelum berjaya mengeluarkan besi terbabit," katanya ketika dihubungi.

Sulaiman berkata, operasi dilakukan secara berhati-hati kerana keadaannya yang agak serius, selain mangsa juga dalam keadaan sedar ketika proses mengeluarkan besi itu dijalankan.

"Daripada maklumat yang kita terima, ketika mangsa yang berasal dari Selangor bersama rakannya melalui laluan terbabit, sebatang besi yang berada di atas jalan raya itu melantun dan tertusuk tangannya.

"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans dan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan lanjut," katanya. - Apakes
Tangan Tertusuk Besi Melantun Di Lebuh Raya Tangan Tertusuk Besi Melantun Di Lebuh Raya Reviewed by Lina Slayer on 03:04:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.