Telinga Koyak Digigit Banduan




BENTONG - Seorang wadar Penjara Bentong koyak cuping telinga kiri digigit banduan akhir warga Liberia ketika hendak memindahkan lelaki terbabit ke blok lain di penjara itu, semalam.

Mangsa yang mengalami kecederaan pada telinga kira-kira lima sentimeter, dihantar ke Hospital Bentong sebelum dirujuk ke Hospital Temerloh.

Ketika kejadian jam 2.05 petang, wadar berkenaan bersama seorang pegawai dan tiga anggota unit Keselamatan Penjara (UKP) ditugaskan untuk memindahkan banduan berusia 46 tahun itu bagi tujuan pengasingan.

Bagaimanapun, banduan itu enggan menerima arahan dan bertindak agresif ketika hendak ditahan sebelum berlaku pergelutan dengan anggota penjara berkenaan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohammad Mansor Mohammad Nor, berkata banduan itu kemudian menumbuk muka wadar berkenaan yang menyebabkan mangsa jatuh tertiarap ke lantai.

"Banduan itu terus menyerang dengan menindih belakang badan mangsa sebelum menggigit telinga kiri hingga terkoyak.

"Anggota UKP terpaksa menggunakan kekerasan untuk membantu melepaskan banduan itu daripada terus menggigit mangsa. Banduan itu kemudian digari dan dibawa ke blok lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Laporan kejadian itu dibuat di Balai Polis Lurah Bilut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Banduan itu dimasukkan ke Penjara Bentong tahun lalu selepas didapati bersalah mengedar dadah mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada 16 Ogos 2005.

Rayuan kemudian dibuat di Mahkamah Persekutuan namun mahkamah dalam keputusannya pada 5 Mei 2010, menolak rayuan itu dengan hukuman dikekalkan. - Apakes
Telinga Koyak Digigit Banduan Telinga Koyak Digigit Banduan Reviewed by Lina Slayer on 15:26:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.