Tiaz Al Khred Ingin Berlakon Watak Utama




Barangkali pelakon dan pengacara ini semakin dilupakan namun ia bukan penghalang buat Tiaz Al Khred, 28, terus mengejar impiannya bergelar anak seni.

Pengacara MBuzz ini membuktikan dia masih bersungguh-sungguh mengabdikan diri dalam bidang ini dan tidak mahu berhenti mencari peluang dari segenap sudut.

Meskipun rezekinya kini lebih berpihak ke bidang pengacaraan, Tiaz menerima apa juga rezeki yang datang padanya.

“Saya bermula dengan pembabitan dalam program pencarian pelakon Pilih Kasih 2. Lakonan memang apa yang saya benar-benar mahu lakukan dalam bidang seni.

“Bagaimanapun, saya akur peluang besar belum tiba dalam lakonan tapi tidak akan berhenti mencari ruang. Syukur, rezeki pengacaraan sentiasa terbuka dan saya sungguh gembira dapat meluaskan lagi pengalaman,” katanya.

Bidang lakonan sekarang sememangnya dibanjiri pelakon baru. Namun, Tiaz tidak mahu mengambil senario itu dari sudut negatif.

Baginya, selagi dia masih percaya dengan bakat dalam dirinya, selagi itulah dia yakin peluang pasti akan datang jua.

“Bukannya tiada tawaran langsung tapi watak yang diberikan tidaklah besar. Tapi saya sangat bersyukur kerana watak kecil atau sampingan sebenarnya penting juga.

“Saya tidak perlu mengeluh meskipun dalam hati memanglah saya idamkan watak utama juga. Tidak mengapalah, selagi rezeki itu tetap ada sudah memadai kerana saya pun mahu lama dalam industri,” katanya.

Meskipun buat masa ini terikat dengan program MBuzz saja, Tiaz juga sebenarnya sibuk dengan kerjaya seni dan pada masa sama menguruskan penyanyi Hazman Al-Idrus.

Bukan terdesak atau apa, dia cuma mahu meluaskan lagi pengalaman dalam bidang ini dengan mencuba sudut lain pula.

“Mulanya saya cuma membantu Hazman namun kini menjaga dia sepenuhnya. Seronok juga kerana barulah rasa sendiri bagaimana mahu berurusan dengan ramai orang.

“Saya bertuah apabila dapat menguruskan Hazman kerana dia pun dikenali di Indonesia. Selain di Malaysia, saya berpeluang untuk ke sana bagi menguruskan aktiviti seni serta mencari jaringan di negara seberang,” katanya.

Bukan merajuk dengan industri, namun, Tiaz juga menyimpan niat melebarkan sayap ke Indonesia suatu hari nanti.

Apalagi, kini dia dan Hazman sering berulang-alik ke sana.

“Saya melihat setiap peluang yang ada depan mata sangat penting. Jadi, apabila sudah kerap ke sana membuatkan saya rasa amat perlu untuk menyambar jika ada tawaran di sana,” katanya. - Apakes
Tiaz Al Khred Ingin Berlakon Watak Utama Tiaz Al Khred Ingin Berlakon Watak Utama Reviewed by Lina Slayer on 14:48:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.