Tipu Pajakan Tanah




AYER KEROH - Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini terhadap 11 pertuduhan berkaitan kes penipuan pajakan tanah di Kelantan berjumlah RM1,902,800.

Tertuduh, Mohd Haffiz Mohd Rasdin, 32, dan Wong Chi Sing, 54, membuat pengakuan itu selepas semua kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut tujuh pertuduhan yang disabit mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, kedua-dua tertuduh mencapai niat bersama menipu Liw Chong Liong , 57, untuk menyerahkan bank draf sebanyak RM33,959; RM100,000 (cek); RM150,000 (cek); RM25,000 (cek); RM6,500 (cek); RM171,041 (cek) dan RM90,000 (cek).

Kesemua pertuduhan itu dilakukan antara 20 Oktober 2014 hingga 30 April 2016 di sekitar daerah Melaka Tengah dengan niat memperdaya mangsa menerusi projek pajakan tanah untuk kelapa sawit seluas 402 hektar di Mukim Sokor, Tanah Merah, Kelantan yang tidak wujud.

Bagi perbuatan itu, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman tidak lebih 10 tahun penjara dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Kedua-dua tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan pecah amanah ke atas harta Bong Fook Hin, 51, berupa wang tunai berjumlah RM480,000; RM748,600 dan RM97,700 bagi tujuan pembayaran projek pajakan tanah seluas 202 hektar untuk tanaman getah di Hutan Simpanan Kekal Ulu Galas, Mukim Bunga Tanjung Kuala Balah, Kuala Krai, Kelantan antara 24 Oktober 2012 dan 27 Januari 2014.

Bagi perbuatan itu, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama iaitu boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan terakhir, kedua-dua tertuduh didakwa menggunakan surat palsu bertajuk Pelesenan Kawasan Projek Peningkatan Stok Dirian Dengan Pelbagai Spesies Dalam Kawasan Hutan Simpanan Kekal dan Terosot (Degraded) seluas 202 hektar bertarikh 16 Januari 2012.

Bagi perbuatan itu, kedua-dua tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama iaitu penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shazreen Nadia Saaban mencadangkan satu jaminan yang tinggi ke atas kedua-dua tertuduh selain syarat tambahan sementara menunggu sebutan semula kes.

Sementara itu, peguam bela, Mohd Nazri Abd Hamid dan J Armadas, masing-masing mewakili Mohd Haffiz dan Chi Sing memohon jumlah jaminan yang lebih rendah bagi kesemua pertuduhan dengan alasan anak guam mereka memberikan kerjasama serta masih mempunyai tanggungan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Norma menawarkan jaminan sebanyak RM35,000 setiap seorang untuk pertuduhan dan menetapkan 4 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
- Apakes
Tipu Pajakan Tanah Tipu Pajakan Tanah Reviewed by Lina Slayer on 16:45:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.