Wanita Hamil Maut Nahas 2 Kereta, Suami Parah




MARANG - Seorang wanita hamil tiga bulan maut, manakala suaminya parah selepas kereta PROTON Iriz dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 43 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Gong Balai, pagi ini.

Kemalangan kira-kira jam 7.50 pagi itu turut menyebabkan tiga sekeluarga yang menaiki PROTON Persona cedera.

Mangsa yang maut, kakitangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kemaman, Noorulizaine Mat Noh, 35, beralamat di Taman Sakti, Manir, yang memandu kereta PROTON Iriz berkenaan.

Pasangan itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kemaman selepas menziarahi keluarga di Manir.

Kemalangan dipercayai apabila PROTON Persona dipandu seorang guru dari arah Kemaman dipercayai terbabas sebelum bertembung kereta mangsa yang datang dari arah bertentangan.

Pemandu PROTON Persona terbabit bersama rakan dan seorang anak rakannya dalam perjalanan menyertai pertandingan Larian Jambatan Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Pegawai Bomba Kanan II Roslan Ibrahim, berkata lima anggotanya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima makluman.

"Bomba mengambil masa selama 10 minit bagi mengeluarkan mangsa yang ketika itu tersepit di tempat duduk pemandu dan sudah meninggal dunia.

"Semua mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk menerima rawatan. Jenazah pula diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan lanjut," katanya. - Apakes


Wanita Hamil Maut Nahas 2 Kereta, Suami Parah Wanita Hamil Maut Nahas 2 Kereta, Suami Parah Reviewed by Lina Slayer on 21:22:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.