Wanita Maut, Adik Lelaki Cedera Ringan Kereta Terbabas




KOTA MARUDU - Seorang wanita maut manakala adik lelakinya cedera ringan apabila kenderaan yang dipandunya terbabas ke dalam parit, dalam kejadian di KM9 Jalan Kota Marudu-Langkon, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 3.50 pagi itu, mangsa, Joseh Banglah, 31, disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Kota Marudu selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan dada.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dengan adiknya, yang berusia 23 tahun dalam perjalanan dari arah Pekan Kota Marudu ke Simpang 3 Langkon.

Bagaimanapun setiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu Joseh itu dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar tebing parit sebelum terjatuh ke dalam parit serta terbalik.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Izaan Abdullah, berkata kemalangan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan dada manakala adik lelakinya hanya mengalami kecederaan ringan.

"Semua mangsa kemalangan telah dibawa ke Hospital Kota Marudu dengan menaiki ambulans," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu, Ronnie Roger, berkata bomba menerima panggilan pada jam 4.03 pagi.

"Sejurus menerima panggilan, sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kemalangan dan tiba pada jam 4.13 pagi. Kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbabas ke dalam parit sedalam kira-kira dua meter.

"Kedua-dua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam manakala pasukan bomba melakukan operasi mengangkat mangsa ke tebing parit menggunakan pengusung sebelum dibawa ke Hospital Kota Marudu menggunakan ambulans.

"Operasi tamat pada jam 5.40 pagi," katanya. - Apakes
Wanita Maut, Adik Lelaki Cedera Ringan Kereta Terbabas Wanita Maut, Adik Lelaki Cedera Ringan Kereta Terbabas Reviewed by Lina Slayer on 23:37:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.