Watie Sadali Gagal Bayar RM707, 351.83




Penyayi dan pelakon Watie Sadali tidak mampu untuk membayar tuntutan saman penghakiman berjumlah RM707,351.83 yang difailkan oleh sahabatnya yang juga bekas anggota kumpulan Elite iaitu Hana seperti diperintahkan Mahkamah Sesyen Selayang pada 10 Mac 2015.

Watie atau Norwati Sadali, 41, ketika ditemui berkata, jumlah yang dituntut Hana di luar kemampuannya dan dia turut membuat rayuan di hadapan Hakim, Rasyihah Ghazali ketika mendengar kes itu pada Jumaat.

"Saya bukan hendak melarikan diri daripada membayar ganti rugi itu tapi jujur saya katakan jumlah itu memang di luar kemampuan saya dan pendapatan saya pun bukannya banyak dan masih berlakon untuk mendapatkan wang.

"Jika saya mempunyai perniagaan yang besar dan berjaya memang saya akan bayar tetapi memang saya tidak mampu.

"Sebab itu saya mohon rayuan daripada mahkamah agar jumlah itu dikurangkan dan itu pun saya boleh lunaskan secara ansuran bulanan," katanya.

Watie hadir ke mahkamah ditemani suaminya, Joey namun tidak diwakili peguam.

Manakala Hana pula tidak menghadirkan diri dan hanya diwakili peguam, Tengku Nadiatul Hanim Tengku Mohamad Nasser.

Hana atau Norhanasafiza Mat Adnan, 39,membuat tuntutan saman penghutang penghakiman terhadap Watie pada 18 Mei lalu selepas dia gagal membayar ganti rugi itu.

Terdahulu, Hana memperoleh kemenangan selepas membuat tuntutan terhadap Watie pada 28 Ogos 2014 berhubung kegagalan penyanyi itu menyelesaikan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya bagi membeli sebuah kenderaan jenis Toyota Wish.

Menerusi penyata tuntutan itu, Hana telah membuat pinjaman bank sebanyak RM150,000 bagi membeli kereta itu namun Watie gagal mematuhi syarat ditetapkan seperti membayar ansuran bulanan, cukai jalan, insurans dan perkara berkaitan sejak September 2010.

Akibat kejadian itu nama Hana diisytiharkan muflis dan perkara itu mula tersebar di blog sehingga mendatangkan malu kepadanya.

Sementara itu, Watie berkata dia cuba menyelesaikan masalah itu di luar mahkamah namun ditolak oleh Hana kerana sudah membawa kes itu ke muka pengadilan.

"Saya terkejut sebenarnya ketika kes dahulu selesai begitu sahaja tanpa saya berpeluang membela diri.

"Saya pernah cuba bertemu dengan Hana untuk selesaikan masalah tetapi dia menolak dan pilih jalan ini (Selesaikan di mahkamah).

"Saya cuba juga buat rayuan sebelum ini tetapi kes ini telah ditutup," katanya.

Tambah Wati, dia tidak mahu memanjangkan isu tersebut dan akan cuba membayar ganti rugi selepas mahkamah mengeluarkan keputusan rayuannya.

"Jika benar saya bersalah saya minta maaf dengan Hana dan sekarang pun saya positif sahaja.

"Kita pernah berkawan dan tak sangka pula jadi begini tetapi saya reda dan cuba selesaikan masalah ini," ujarnya.

Mahkamah menetapkan 11 Oktober depan untuk perbicaraan bagi mendengar  rayuan penghutang bagi mengurangkan jumlah hutang berkenaan. - Apakes
Watie Sadali Gagal Bayar RM707, 351.83 Watie Sadali Gagal Bayar RM707, 351.83 Reviewed by Lina Slayer on 15:17:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.