4 Anggota TLDM Didakwa Lagi




SERI MANJUNG - Seorang Laskar Kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang didakwa membunuh sebelum ini, hari ini didakwa lagi di Mahkamah Majistret di sini dengan lapan tuduhan mencederakan serta ugutan jenayah dua anggota lain pasukan itu, antara 12 hingga 29 September lalu.

Sementara itu, tiga lagi Laskar Kanan masing-masing dihadapkan dengan satu tuduhan mencederakan seorang anggota pasukan itu ketika berada dalam bilik tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan. 

Laskar Kanan Mohd Izhrifikri Roslee, 29, yang dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan Jumaat lalu, dituduh memukul tapak kaki Laskar Kelas I Mohd Farhan Md Said, 30, hingga cedera di pejabat pentadbiran bilik tahanan unit Sungai Wangi, antara jam 8 hingga 10 malam pada 12 September lalu.

Dia juga didakwa melakukan perkara sama terhadap mangsa sama di padang kawad tempat sama antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari pada 13 September dan mengulangi perbuatan serupa keesokan harinya terhadap mangsa sama di tempat dan masa sama.

Mohd Izhrifikri turut didakwa melakukan perbuatan serupa terhadap Laskar Kelas I Mohd Syaiful Nizam Mardzuki, 30, di padang kawad tempat sama antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari pada 21 September lalu.

Dia juga didakwa melakukan perbuatan serupa terhadap mangsa sama di tempat dan masa sama pada 22 dan 23 September lalu.

Mohd Izhrifikri didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa mengugut secara jenayah terhadap Mohd Farhan dengan kata-kata 'akan dibelasah hingga mati dan ahli keluarga akan diancam sekiranya beri kenyataan benar kepada polis' di lorong hadapan sel no 7 bilik tahanan sama antara jam 2 hingga 3 petang pada 29 September lalu.

Dia juga didakwa melakukan ugutan serupa terhadap Mohd Syaiful Nizam di lorong hadapan sel nombor 4 di tempat, masa dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu.

Dalam pada itu, Laskar Kanan Hamzah Zakaria, 35, yang sebelum ini didakwa atas dua tuduhan mencederakan dua anggota TLDM, hari ini didakwa pula mencederakan Mohd Farhan dengan cara memukul tapak kaki di padang kawad tempat sama antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari pada 13 September lalu.

Pengawal bilik tahanan, Laskar Kanan Saifulnizam Razaly, 37, juga dituduh melakukan perkara serupa terhadap mangsa sama di tempat, tarikh dan masa sama.

Hamzah dan Saifulnizam mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan itu yang dibuat mengikut Seksyen 323 kanun sama.

Seorang lagi pengawal bilik tahanan, Mohd Farham Mohd Azmi, 31, yang didakwa melakukan perkara serupa di tempat, masa dan tarikh sama bagaimanapun mengaku bersalah terhadap tuduhan itu.

Majistret Nur Shaqira Ibrahim menghukum Mohd Farham dengan denda RM1,600 terhadap kesalahan itu.

Nur Shaqira membenarkan jaminan masing-masing RM4,000 terhadap Hamzah dan Saifulnizam serta menetapkan 30 Oktober ini untuk semua kes terbabit disebut semula.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Harris Ong Jeffry Ong manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. - Apakes
4 Anggota TLDM Didakwa Lagi 4 Anggota TLDM Didakwa Lagi Reviewed by Lina Slayer on 14:05:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.