Abang Jatuh Seperti Bersujud




KAMPUNG GAJAH - "Abang cedera di kepala akibat terkena pokok dan besi khemah dan dia jatuh seperti bersujud," kata Muhammad Shahril Sauffi.

Kanak-kanak berusia 12 tahun itu menceritakan keadaan ketika dia dan abangnya, Muhamad Khairul Syamril, 13, ditimpa khemah dan pokok sawit yang tumbang secara tiba-tiba ketika mereka mengambil makanan di kenduri arwah jiran mereka di Kampung Tersusun Bukit Chawi, Kampung Gajah, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 2.25 petang itu, Muhamad Khairul Syamril disahkan meninggal dunia ketika dibawa untuk menerima rawatan di Klinik Kesihatan Ulu Dedap.

Mohamad Shahril yang ditemui hari ini berkata, dua rakan mereka turut cedera dan mendapat rawatan di hospital manakala dia bernasib baik kerana hanya mengalami luka kecil.

"Ketika kejadian saya, abang dan dua rakan baru sahaja mahu makan sebelum pokok itu tumbang atas khemah dan menimpa kami," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Sementara itu, ibu mereka, Hafizah Paed, 33, berkata arwah yang juga anak sulung daripada enam beradik itu meminta kebenarannya untuk pergi ke majlis kenduri arwah itu, namun pada awalnya dirinya berasa berat hati untuk memberi keizinan.

"Ketika itu hujan, saya baru pulang dari kenduri berkenaan dan tetamu lain juga sudah pulang, namun dia tetap mahu pergi dan saya pesan kepadanya supaya pulang cepat disebabkan hati saya tidak tenang.

"Saya kemudian terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian menimpa anak saya dan terasa kehilangannya kerana dia seorang anak yang bertanggungjawab dalam menjaga adik-adiknya," katanya yang reda dengan pemergian anaknya itu. - Apakes
Abang Jatuh Seperti Bersujud Abang Jatuh Seperti Bersujud Reviewed by Lina Slayer on 22:10:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.