Akauntan Wanita Kena Tipu RM103,000




KOTA KINABALU - Seorang akauntan wanita kerugian RM103,000 selepas terpedaya dengan satu sindiket yang menawarkan pinjaman kewangan mencecah RM1 juta.

Dalam kejadian 15 September lalu, wanita berumur 38 tahun itu ditawarkan pinjaman kewangan menerusi Facebook dengan syarat yang sangat mudah.

Mangsa hanya perlu menghantar borang, salinan kad pengenalan, akaun bank dan penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersama wang pengurusan dan bayaran guaman pinjaman untuk diproses.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, mangsa yang memohon pinjaman sebanyak RM50,000 diminta memasukkan wang sebanyak RM648.

Katanya, dalam tempoh beberapa jam pihak sindiket berkenaan 'segera' meluluskan pinjaman dan menghantar gambar cek yang bertulis nama serta jumlah yang dipohon mangsa.

"Mangsa yang terpedaya kemudiannya memohon tambahan nilai pinjaman beberapa kali sehingga mencecah RM 1 juta. Dalam tempoh sehari, mangsa membuat 12 transaksi bayaran berjumlah RM103,000.

"Mangsa akhirnya menyedari dirinya tertipu dan tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu," katanya.

Chandra berkata, perkembangan kes penipuan menggunakan modus operandi ini membimbangkan berikutan pertambahan laporan yang diterima pihaknya.

Katanya, sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, pihaknya sudah menerima 44 kes membabitkan kerugian RM359,842.78, meningkat berbanding tahun sebelumnya dengan 22 kes dan nilai RM150,180.

"Walaupun polis sudah beberapa kali memberi amaran melalui media massa namun masih ada mangsa yang terpedaya dengan kegiatan sindiket pinjaman tidak wujud seperti ini," katanya.
 - Apakes
Akauntan Wanita Kena Tipu RM103,000 Akauntan Wanita Kena Tipu RM103,000 Reviewed by Lina Slayer on 03:22:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.