Anggota Polis Bukit Aman Maut Kemalangan




BOTA - Seorang anggota polis berpangkat Sarjan maut selepas kereta dipandunya kemalangan dengan lori di Kilometer 12, Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3.40 petang itu, R Siva Kumar, 50, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan menaiki kereta PROTON Saga, maut di lokasi kejadian.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Manjung bagi melakukan tugasannya.

Pemandu lori jenis Mitsubishi Fuso berusia 33 tahun bagaimanapun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa yang dalam perjalanan dari Ulu Dedap ke Manjung itu dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar bahagian hadapan sebelah kanan lori berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

"Anggota bomba bertindak mengeluarkan mayat mangsa menggunakan alat menyelamat dan menyerahkan mayat kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya. - Apakes
Anggota Polis Bukit Aman Maut Kemalangan Anggota Polis Bukit Aman Maut Kemalangan Reviewed by Lina Slayer on 03:12:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.