Anggota Tentera Meninggal Dunia Dalam Kereta




TAIPING - Seorang anggota tentera ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta di Jalan Lim Tee Hooi, berhampiran sebuah restoran di sini, petang tadi.

Mayat Korperal Razif Ruhiman, 32, ditemui di tempat duduk pemandu dengan mulutnya terdapat kesan darah.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah, berkata polis ke tempat kejadian selepas anggota pejabat pertanyaan Balai Polis Taiping menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang lelaki dalam keadaan cedera dan muntah darah dalam kenderaan itu pada jam 4.10 petang.

"Siasatan awal mendapati seorang lelaki yang juga anggota tentera meninggal dunia di dalam kereta dengan darah di bahagian mulut dan ada tompokan darah di hadapan keretanya yang dipercayai muntah darah mangsa.

"Mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Taiping dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan pendarahan dalam perut.

"Siasatan menunjukkan tiada unsur jenayah berhubung kematian itu dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Beliau berkata, anggota berkenaan yang beralamat di Markas Tentera Darat, Cawang Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan (KEMENTAH), Jalan Padang tembak, Kuala Lumpur kini bertugas di Kem 9 Renjer di sini.

Katanya, mengikut rakan sekerjanya mangsa pernah mengalami penyakit Tibi. - Apakes

Anggota Tentera Meninggal Dunia Dalam Kereta Anggota Tentera Meninggal Dunia Dalam Kereta Reviewed by Lina Slayer on 02:51:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.