Bapa Dera Anak Ditahan




KUNAK - Polis hari ini menahan seorang lelaki kerana disyaki memukul dan mendera dua anak kandungnya menggunakan besi penyodok pasir.

Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Sungai Atas dekat sini, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Suspek ditahan selepas isteri yang bekerja sebagai tukang cuci di Kuala Lumpur membuat laporan polis berhubung dakwaan dua anaknya di bawah jagaan lelaki itu dipukul dan didera, pada 19 September lalu.

Difahamkan, suspek dikatakan memukul anak perempuan berusia 12 tahun dengan tangan kerana berang keluar rumah dan terlupa menutup api nasi yang sedang ditanak sehingga hangus serta hampir berlaku kebakaran.

Pada tarikh sama, suspek dikatakan memukul anak lelakinya berusia sembilan tahun dengan penyodok pasir kerana tidak tahu kakaknya keluar rumah.

Berdasarkan pemeriksaan polis, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan ringan pada bahagian tubuh.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata suspek mengaku memukul dua anaknya tetapi menafikan kerap berbuat demikian.

"Berikutan itu, suspek ditahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Nasaruddin berkata, pasangan itu dalam proses perceraian selepas berkahwin hampir 15 tahun dan mempunyai tiga anak berumur lima, sembilan dan 12 tahun.

"Hak penjagaan anak masih belum ditentukan oleh mahkamah," katanya.

Kelmarin, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak membantu menghantar dan mengiringi perjalanan ibu dan tiga anak itu dari Kunak ke Lapangan Terbang Tawau untuk ke ibu negara.

Wanita terbabit dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pulang ke Sabah beberapa hari lalu untuk membawa anaknya tinggal bersamanya di Kuala Lumpur. - Apakes

Bapa Dera Anak Ditahan Bapa Dera Anak Ditahan Reviewed by Lina Slayer on 03:29:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.