Bunuh, Bunuh Diri Disyaki Punca Kematian 4 Beranak




ISKANDAR PUTERI - Polis mengesyaki kes empat sekeluarga yang dijumpai mati di rumah mereka di Mutiara Rini di sini pada Jumaat lalu, mempunyai kaitan dengan unsur bunuh dan bunuh diri.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad, berkata ia hasil siasatan awal polis yang mengesyaki ketua keluarga berkenaan membunuh isterinya dan dua anak mereka terlebih dahulu.

Beliau berkata, lelaki itu kemudian dipercayai menggantung dirinya sehingga mati dalam kejadian berkenaan.

Noor Hashim berkata, polis juga menemui beberapa nota di rumah keluarga itu yang turut menjurus kepada perbuatan membunuh diri selepas siasatan di lokasi tidak menemui kesan pecah masuk ke dalam rumah berkenaan.

Katanya, hasil bedah siasat oleh hospital turut merumuskan punca kematian ketua keluarga itu, P Pubalan, 52, disebabkan tergantung dengan kesan kecederaan pada leher bersama kain digantung pada siling rumah.

"Isterinya, P Jeya, 46, mempunyai kebarangkalian tinggi mati akibat tekanan pada leher kerana terdapat tanda seperti bintik kemerahan pada tisu otot leher, bibir dan mata.

"Kesan tidak nyata itu boleh disebabkan ditekap atau tekanan objek lembut seperti bantal atau kain yang menekan leher mangsa.

"Punca kematian anak lelaki mereka, P Sharveen, 14, dan anak perempuan, P Krishna, 9, juga dirumuskan akibat dijerut pada leher kerana kesan kecederaan konsisten dengan barang kes, iaitu tali pinggang kecil yang ditemui di tempat kejadian," katanya.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri hari ini, Noor Hashim berkata, polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut dan menunggu laporan penuh kejadian berkenaan.

"Hasil siasatan juga mendapati Pubalan yang bekerja sebagai pemborong minuman keras, dipercayai mempunyai masalah kewangan kerana perlu menampung kos perubatan isterinya yang menghidap penyakit kronik.

"Keadaan itu menyebabkannya menghadapi tekanan perasaan sehingga dipercayai mendorong dia membunuh isteri dan dua anaknya sebelum membunuh diri," katanya.

Mayat empat beranak itu ditemui kira-kira jam 2.30 petang oleh rakan Pubalan yang ke kediaman berkenaan.

Pubalan ditemui mati tergantung, manakala mayat isterinya ditemui di atas katil berhampiran ruang tamu di tingkat bawah rumah.

Mayat dua anak pasangan itu pula ditemui dengan kesan jerutan pada leher di sebuah bilik lain. - Apakes

Bunuh, Bunuh Diri Disyaki Punca Kematian 4 Beranak Bunuh, Bunuh Diri Disyaki Punca Kematian 4 Beranak Reviewed by Lina Slayer on 22:04:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.