Cemburu Disyaki Motif Wanita Bunuh Suami




MUAR - Polis tidak menolak kemungkinan cemburu, menjadi motif seorang wanita tergamak menikam mati suaminya yang baru dikahwini lima bulan lalu, dalam kejadian di Taman Pertama Indah dekat Sungai Abong di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada masalah keluarga, kerana suami suspek tidak pulang ke rumah selama dua hari sebelum kejadian berlaku.

"Suspek berusia 17 tahun itu mengaku menikam suaminya selepas berlaku pertengkaran dan sedikit pergelutan di ruang tamu rumah terbabit. Mangsa ditikam di bahagian kanan dadanya.

"Sebelum itu ada juga punca, mungkin dia cemburu, mengesyaki ada sesuatu tetapi polis masih menjalankan siasatan lanjut.

"Ketika polis tiba, mangsa ditemui terlentang di ruang tamu dan suspek juga ada di dalam rumah berkenaan. Polis menemui pisau pemotong sayur yang dibuang ke dalam longkang di tepi rumah terbabit dan suspek juga yang menunjukkannya.

"Polis turut merampas pakaian suspek dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian. Mayat mangsa dibedah siasat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF). Pisau yang digunakan juga dihantar ke sana untuk dianalisis ahli patologi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, hari ini.

Zaharudin berkata, pihaknya juga turut mengambil keterangan daripada seorang lelaki iaitu majikan mangsa yang dipercayai turut berada di rumah terbabit ketika kejadian.

"Suspek ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan. Ujian saringan air kencing terhadap suspek juga mendapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah dan juga tiada sebarang rekod jenayah lampau.

"Kita kini sedang melengkapkan kertas siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, sebelum dihantar ke Timbalan Pendakwaraya untuk pendakwaan," katanya. - Apakes

Cemburu Disyaki Motif Wanita Bunuh Suami Cemburu Disyaki Motif Wanita Bunuh Suami Reviewed by Lina Slayer on 15:58:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.