Chacha Maembong Cemas Nyaris Hilang Penglihatan




Chacha Maembong, 21, berdepan detik cemas apabila mengalami gangguan penglihatan gara-gara jangkitan kuman ketika penggambaran filem I'm Not A Terrorist arahan Arjin Uppal.

Chacha berkata, dia panik apabila pandangannya gelap selepas terjatuh ketika menjayakan babak diculik dan dipukul oleh dua penjahat lakonan Gulshan Grover serta Kapten Khir Mohd Noor.

"Mata saya tiba-tiba sakit kerana dimasuki sejenis daun berbisa, tetapi saya tetap bertahan dan meneruskan penggambaran hingga selesai. Sangka saya, ia mungkin disebabkan habuk hingga penglihatan jadi tidak selesa.

"Mata saya bertambah pedih apabila kami kembali ke hotel penginapan kerana saya kerap menggosoknya," katanya mengenai insiden ketika menjayakan penggambaran di Kashmir, India.

Chacha berkata, kesakitan yang dilaluinya itu berlarutan apabila dia tidak dapat membuka mata ketika bangun pada awal pagi.

Pandangannya juga kosong membuatkan Chacha atau nama sebenarnya, Siti Aisyah Maembong menangis kerana bimbang tidak dapat melihat lagi.

Gusar dengan keadaannya itu, produser, S Baldev Singh segera membawanya ke sebuah pusat perubatan pakar yang terletak lebih 200 kilometer dari hotel penginapan mereka.

"Saya diberikan cuti selama dua hari dan terpaksa berehat dalam bilik gelap. Mata pula dibalut kerana tidak boleh terkena cahaya. Saya hidup seperti orang cacat penglihatan, malah makan minum dan segala keperluan saya terpaksa dibantu.

"Selepas dua hari, keadaan mata saya masih belum pulih dan terpaksa kembali ke hospital untuk rawatan lanjut. Apabila balutan dibuka, doktor mendapati anak mata saya besar sebelah. Sakit itu hanya berkurangan selepas seminggu saya mendapat rawatan," katanya.

Ketika kejadian, Chacha bersama pasukan produksi, White Merpati Entertainment Sdn Bhd menjalani penggambaran selama sebulan di Kashmir.

Selain Chacha, filem yang menelan belanja lebih RM7 juta itu turut dibintangi Afiq Muiz, Betty Banafe dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Filem yang mencipta sejarah baharu dalam industri perfileman negara itu turut menampilkan tiga pelakon lagenda Bollywood iaitu Gulshan Grover, Farida Jalal dan Rahul Dev. Ia menemui penonton di pawagam di Malaysia dan India sejak 5 Oktober lalu. - Apakes

Chacha Maembong Cemas Nyaris Hilang Penglihatan Chacha Maembong Cemas Nyaris Hilang Penglihatan Reviewed by Lina Slayer on 02:00:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.