Datuk, Cucu Ditemui Lemas




SIMUNJAN - Mayat seorang lelaki warga tua dan cucunya yang dilaporkan hilang di Sungai Batang Sadong berdekatan Kampung Tegelam, di sini, petang Isnin lalu, ditemui pagi ini.

Mayat mangsa pertama, Cardirwin Jefferi, 27, dijumpai pada jam 7.15 pagi kira-kira lima kilometer dari Pos Kawalan Bomba di Tanjung Sungkau, Kampung Tegelam.

Sementara itu, mayat mangsa kedua, Kajim Aslan, 77, pula dijumpai oleh penduduk kampung tersangkut pada tali tongkang yang berlabuh di jeti pekan Simunjan pada jam 7.18 pagi pada jarak 30 kilometer dari Kampung Tegelam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, kedua-dua mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kejadian kira-kira jam 6.30 petang Isnin lalu berlaku ketika Kajim memandu bot dari Kampung Tegelam untuk mengambil cucunya, Cardirwin, di jeti Kampung Lubok Punggor yang terletak di seberang Sungai Batang Sadong.

Bagaimanapun, ketika menghampiri jeti Kampung Lubok Punggor, bot yang dipandu lelaki warga tua itu tiba-tiba terbalik selepas terlanggar balak hanyut dan cucunya yang menyaksikan kejadian itu bersama rakannya segera terjun ke sungai untuk menyelamatkannya.

"Bagaimanapun, difahamkan ketika kejadian arus sungai agak deras dan menyebabkan mangsa bersama cucunya hanyut sebelum hilang. Rakan cucunya yang berjaya berenang semula ke tebing segera memaklumkan kejadian itu kepada penduduk kampung.

"Selepas gagal menemui kedua-dua mangsa, penduduk membuat laporan di Balai Polis Simunjan dan bomba kemudian dihubungi oleh polis yang memaklumkan kejadian itu pada jam 11.14 malam Isnin lalu," katanya.

Beliau berkata, sejurus menerima panggilan itu lima anggota diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan, Mat Undek dikejarkan ke lokasi untuk melancarkan gerakan mencari dan menyelamat bersama anggota polis dan penduduk kampung. - Apakes

Datuk, Cucu Ditemui Lemas Datuk, Cucu Ditemui Lemas Reviewed by Lina Slayer on 15:42:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.