Kanak-kanak Parah Rumah Dihempap Pokok Durian




PULAU PANGKOR - Seorang kanak-kanak perempuan parah apabila rumahnya dihempap pokok durian di Kampung Teluk Kechil di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, mangsa, Siti Zaharah Agustri, 11, mengalami kecederaan di peha kanan akibat tertusuk dahan pokok dan pendarahan di hati.

Ibu mangsa, Nisha Yahya, 39, berkata, ketika kejadian dia dan suami tidur di bilik manakala dua anak perempuan tidur di ruang tamu sebelum terdengar bunyi kuat menghempap rumahnya.

Katanya, seorang lagi anak perempuannya berusia 15 tahun tiada di rumah kerana mengikuti program di sekolah ketika kejadian.

"Ketika itu, Siti Zaharah tidur bersama kakaknya berusia 18 tahun yang benjol di kepala dan bengkak di kaki akibat kejadian itu," katanya ketika dihubungi.

Katanya, Siti Zaharah dibawa ke Hospital Desa Pulau Pangkor oleh jirannya sebelum dipindahkan ke Hospital Seri Manjung pada jam 4.30 pagi, kemudian dipindahkan pula ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh pada jam 6 petang tadi berikutan keadaannya yang semakin serius.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor, Suhaimi Nijar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.56 pagi sebelum tujuh anggota bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera bomba dan jentera perkhidmatan perubatan kecemasan (EMRS).

"Pokok durian tua anggaran tinggi kira-kira sembilan meter yang berada di belakang rumah mangsa tumbang dan menghempap sehingga menyebabkan kerosakan hampir keseluruhan rumah termasuk perabot.

"Kami mengambil masa hampir tiga jam untuk memotong dahan pokok yang tumbang dan selepas mendapati keadaan selamat operasi ditamatkan pada jam 6.40 pagi," katanya.

Suhaimi berkata, ketika kejadian berlaku cuaca baik dan tidak berangin. - Apakes

Kanak-kanak Parah Rumah Dihempap Pokok Durian Kanak-kanak Parah Rumah Dihempap Pokok Durian Reviewed by Lina Slayer on 02:23:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.