Lelaki Dituduh Bunuh Pencuci Rumah




IPOH - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita yang bekerja sebagai pencuci rumah sambilan, 10 hari lalu.

Khairul Azizi Abdul Jalil, 34, dituduh membunuh wanita warga Indonesia, Aidah Tursinawati di rumah bernombor 1A, Hala Tasek Timur 30, Kampung Tersusun Tasek di sini, kira-kira jam 3.25 petang pada 9 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh tetapi dia mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hafizah Jaafar.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Siti Hafizah kemudian menetapkan 14 Disember ini untuk kes itu disebut semula bagi mendapatkan laporan patologi dan kimia.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang lelaki datang ke Balai Polis Bercham untuk menyerah diri dengan menyatakan dia telah membunuh seorang perempuan yang datang mencuci rumahnya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, dilaporkan berkata, mayat mangsa berusia 40-an ditemui dengan kesan tetakan pada bahagian muka dan belakang kepala. - Apakes
Lelaki Dituduh Bunuh Pencuci Rumah Lelaki Dituduh Bunuh Pencuci Rumah Reviewed by Lina Slayer on 13:01:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.